Sabah kemukakan SOP baharu fasa satu PPN kepada kerajaan pusat

Sabah kemukakan SOP baharu fasa satu PPN kepada kerajaan pusat

KOTA KINABALU,. Kerajaan Sabah telah mengemukakan prosedur operasi standard (SOP) baharu bagi Fasa Satu Kawalan Pergerakan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) kepada kerajaan Pusat, kata Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Masidi Manjun.

Beliau yang juga jurucakap rasmi COVID-19 Kerajaan Sabah berkata kerajaan negeri pada masa, ini masih menunggu pewartaan SOP tersebut.

Katanya perakuan SOP tersebut telah dipersetujui sebulat suara oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana COVID-19 Negeri Sabah yang dipengerusikan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Safar Untong.

“Antara anggota Jawatankuasa ini ialah Ketua-ketua Jabatan yang mewakili Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, Polis Diraya Malaysia dan Majlis Keselamatan Negeri Sabah yang juga telah menyemak perakuan ini,” katanya menerusi kenyataan di sini malam tadi.

Masidi berkata satu kenyataan media berasingan mengenai perincian SOP itu akan dikeluarkan oleh setiausaha kerajaan negeri.

Pada Isnin, Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor dilaporkan berkata Kerajaan Sabah akan melaksanakan Fasa Satu PPN bermula Selasa dengan mengekalkan sebahagian besar SOP dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Hajiji berkata beberapa aktiviti sosial dan ekonomi dibenarkan beroperasi dalam Fasa Satu PPN di Sabah antaranya makan di dalam restoran, kedai makan dan restoran dalam premis hotel; gerai-gerai menjual sayur, ikan dan buah-buahan di tepi jalan raya; serta kedai gunting rambut.

Sementara itu, Masidi berkata berdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, jumlah kes positif baharu COVID-19 pada hari ini adalah 178 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 69,203 kes.

“Seramai 219 pesakit COVID-19 telah sembuh hari ini menjadikan jumlah kumulatif yang sembuh seramai 67,069 orang,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )