Sabah Memilih: AMK Sabah bantah guna logo Warisan, enggan ‘mengemis’

KOTA KINABALU,. Angkatan Muda Keadilan (AMK) Sabah menempelak cadangan pihak tertentu supaya calon parti itu bertanding menggunakan logo Parti Warisan Sabah (Warisan) pada Pilihan Raya Negeri (PRN).

Ketua penerangannya, Razeef Rakimin berkata, cadangan yang dinyatakan oleh Amanah, baru-baru ini, seolah-olah menunjukkan Pakatan Harapan (PH) sudah tidak lagi berfungsi.

“Adalah lebih baik sekiranya logo PH diguna pakai atau sekurang-kurangnya calon bertanding menggunakan logo parti masing-masing.

“Saya sangat tidak bersetuju untuk menggunakan logo Warisan kerana ini hanya gabungan untuk membentuk kerajaan negeri dan bukan gabungan rasmi di bawah satu pakatan.

“Kita faham Amanah masih berharap diberi peluang oleh Warisan agar dapat bertanding, namun saya amat terkilan apabila serendah itu martabat Amanah sehingga membuat keputusan seolah-olah Pakatan Harapan tidak wujud,” dakwanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.

Semalam, Pengarah Komunikasi Pemuda Amanah, Khairuddin Daud dalam satu kenyataan mencadangkan supaya PH dan UPKO menggunakan logo Warisan untuk bertanding pada PRN Sabah.

Jelas Khairuddin, cadangan itu sebagai satu tanda kesatuan semua parti yang menyokong Warisan di negeri ini.

Dalam pada itu, Razeef berkata, kerjasama dengan Warisan bukan strategi politik yang baik kerana bukan sahaja menolak cadangan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Perdana Menteri.

“Mereka sanggup membentuk blok bebas Bersama Ahli Parlimen buangan Bersatu daripada bersama Pakatan Harapan yang juga jelas menunjukkan mereka tiada keikhlasan bersama Pakatan Harapan.

“Namun mengapa di Sabah kita perlu tunduk dan mengemis kepada mereka untuk mendapat kerusi atau jawatan tertentu?,” katanya.

–AWANI

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )