Sabah pergiat program mesej, bantu rakyat keluar daripada kemiskinan

Sabah pergiat program mesej, bantu rakyat keluar daripada kemiskinan

KOTA KINABALU,. Kerajaan Sabah akan mempergiatkan program Mini Estet Sejahtera (MESEJ) di kawasan luar bandar berikutan keberkesanannya dalam membantu rakyat keluar daripada kepompong kemiskinan, sejak ia dilaksanakan pada 2013.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Dr Joachim Gunsalam berkata program MESEJ, kendalian Lembaga Kemajuan Tanah Sabah (SLDB), terbukti berjaya mengubah taraf hidup sekali gus meningkatkan sosioekonomi masyarakat luar bandar menerusi pelbagai inisiatif termasuk tanaman pertanian dan perladangan.

Mengambil contoh program MESEJ di Kampung Mansalu, Ranau, Joachim yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian Sabah berkata para peserta di kawasan itu mampu menjana purata pendapatan antara RM950 hingga RM1,500 sebulan.

“SLDB akan membantu penduduk kampung memajukan tanah mereka dengan penanaman kelapa sawit, selain turut disediakan kemudahan asas seperti rumah, bekalan air dan elektrik. Saya berharap lebih ramai penduduk luar bandar Sabah menyertai program ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Program MESEJ telah dilaksanakan di 52 kampung seluruh Sabah termasuk Keningau, Nabawan, Pitas, Beaufort, Sipitang, Kinabatangan, Kunak, Semporna dan Ranau.

Setakat ini, seramai 295 orang menyertai program itu dengan 20 daripadanya dari kampung Mansalu dan Kampung Karagasan di Ranau, katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This