Sabah setiap Daerah Akan diAktifkan Pusat Kawalan Operasi Bencana

Sabah setiap Daerah Akan diAktifkan Pusat Kawalan Operasi Bencana

KOTA KINABALU,. Kerajaan Sabah memutuskan untuk mengaktifkan Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) di setiap daerah di negeri ini bagi mengurus semua aspek berkaitan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan perkembangan wabak COVID-19.

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata semua pegawai daerah telah diarahkan untuk mengaktifkan PKOB dan Jawatankuasa Keselamatan Daerah masing-masing agar setiap daerah bersedia sekiranya terdapat pertambahan kes COVID-19 secara mendadak.

Beliau berkata setiap pejabat daerah turut berperanan memastikan keadaan terkawal selain terus berusaha mempertingkatkan lagi penguatkuasaan supaya arahan PKP dipatuhi oleh penduduk di kawasan masing-masing demi membendung penularan wabak COVID-19.

“Pejabat daerah juga perlu memastikan pengagihan bantuan bekalan makanan sampai ke peringkat akar umbi dalam masa terdekat ini khususnya ketika Perintah Kawalan Pergerakan.

“Kita (kerajaan Sabah) mahu masyarakat mendapat bantuan bekalan makanan mencukupi dalam tempoh ini supaya keadaan mereka terkawal di kediaman masing-masing,” kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Negara Negeri Sabah di sini, semalam.

Mohd Shafie berkata setiap pejabat daerah juga berperanan untuk menyelaraskan operasi nyah cemar di premis-premis yang terdapat di daerah masing-masing termasuk sekolah atau masjid bagi memastikan jangkitan wabak dapat dibendung sepenuhnya.

Menurutnya, PKOB yang dipengerusikan oleh pegawai daerah perlu menjalin kerjasama rapat dengan jabatan dan agensi berkaitan bagi memastikan pelaksanaan operasi nyah cemar yang efisien.

Mengulas lanjut mengenai operasi nyah cemar, Mohd Shafie berkata Jabatan Kesihatan Sabah telah diminta untuk melaksanakannya di beberapa lokasi, namun, disebabkan kekurangan kakitangan menyebabkan pelaksanaannya agak terbatas untuk dilaksanakan di seluruh Sabah.

“Kita akan lihat dari segi keupayaan (kakitangan) kerana kita tahu Sabah adalah negeri agak besar. Jika mencukupi kita akan perluaskan dan jika ada keperluan (menggunakan khidmat) RELA (Jabatan Sukarelawan Malaysia) maka kita akan gunakan mereka bagi membantu,” katanya.

Mengenai keprihatinan NGO memberi bantuan bekalan makanan, Mohd Shafie berkata kerajaan negeri menggalakkan usaha itu tetapi harus diselaraskan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat sebelum diagihkan kepada penduduk di daerah dikehendaki NGO bagi mengurangkan pergerakan penduduk dalam tempoh PKP.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohd Shafie berkata sekatan pergerakan sepenuhnya di Pulau Gaya akan dilanjutkan sehingga 14 April bagi mengawal penularan COVID-19.

CATEGORIES
TAGS
Share This