Sabah tidak boleh terlalu bergantung kepada Persekutuan kekang COVID-19 – Shafie Apdal

Sabah tidak boleh terlalu bergantung kepada Persekutuan kekang COVID-19 – Shafie Apdal

KOTA KINABALU, 21 Dis — Kerajaan Sabah tidak boleh terlalu bergantung pada kerajaan persekutuan dalam usaha mengekang penularan pandemik COVID-19 di negeri itu, persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah diberitahu hari ini.

Ketua Pembangkang DUN Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Warisan-Senallang) berkata kerajaan negeri sendiri perlu mengambil langkah agresif dan berkesan termasuk kawalan di pintu masuk Sabah serta kemudahan kesihatan untuk rakyat.

“Saya cadangkan kerajaan negeri sendiri cuba mendapatkan vaksin COVID-19 untuk rakyat Sabah dan kita tidak boleh bergantung pada kerajaan persekutuan semata-mata (dapatkan vaksin).

“Belanjawan 2021 (persekutuan) RM3 billion diperuntukkan untuk dapatkan vaksin tetapi Sabah, Selangor dan ada negeri lain kawasan merah… saya bimbang bila pengagihan (vaksin) Sabah tidak diberi keutamaan,” katanya ketika membahaskan Belanjawan Sabah 2021 itu di sini.

Jumaat lepas (18 Dis) Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor membentangkan Belanjawan Sabah 2021 berjumlah RM4.3 bilion dan belanjawan pertama kerajaan negeri Gabungan Rakyat Sabah (GRS) itu menganggarkan kutipan hasil RM4.48 bilion tahun depan menjadikan belanjawan lebihan RM178.7 juta.

Datuk Abdul Ghani Mohamed Yassin (PN-Nabawan) pula berkata belanjawan itu mempunyai hala tuju jelas dalam mendepani pelbagai masalah yang melanda Sabah, termasuk pandemik COVID-19.

Beliau berkata COVID-19 merupakan punca kepada kelembapan ekonomi yang berlaku kini, justeru keutamaan kepada pembangunan ekonomi dalam belanjawan negeri yang bertemakan ‘Rakyat Sejahtera Ekonomi Mampan’ itu adalah tepat.

“Pertumbuhan ekonomi yang bersifat menggalakkan rakyat bergiat aktif dalam ekonomi mampu memberi kesan berganda kepada kestabilan ekonomi masa depan… keadaan ini (cabaran COVID-19) mengajar kita semua untuk lebih berfikir dan berusaha membangunkan semula Sabah ini,” katanya.

Datuk Raime Unggi (ADUN dilantik) pula berkata pandemik COVID-19 mengakibatkan pendapatan golongan petani terjejas teruk kerana kekurangan permintaan terhadap komoditi seperti getah, ditambah kuasa beli di pasaran sangat lemah.

Justeru katanya kerajaan serta agensi berkaitan perlu membantu golongan tersebut dalam memantau serta memastikan hasil pertanian dibeli pada harga berpatutan, sekali gus turut membendung orang tengah mengaut keuntungan berlebihan.

Datuk Rubin Balang (BEBAS-Kemabong) berkata bagi mengatasi isu pengangguran yang meningkat dalam kalangan belia ketika COVID-19, belia perlu digalakkan menceburi bidang keusahawan dan pertanian yang berpotensi tinggi dalam usaha pemulihan ekonomi pasca-COVID-19.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )