Sabah Umum Pakej Bantuan RM670 Juta

Sabah Umum Pakej Bantuan RM670 Juta

KOTA KINABALU,. Ketua Menteri Sabah, Shafie Apdal hari ini mengumumkan pakej bantuan Covid-19 berjumlah RM670 juta bagi memerangi pandemik itu dan mengurangkan kesannya di negeri berkenaan.

Beliau menggariskan 15 langkah membabitkan pembahagian dana dan peralatan penting kepada barisan depan, komuniti perniagaan, golongan berpendapatan rendah dan kurang bernasib baik.

Katanya, rakyat di negeri itu turut dikecualikan membayar bil air selama 3 bulan mulai April membabitkan 335,000 pengguna domestik.

“Penularan ini membawa kesan negatif kepada ekonomi negara dan menjejaskan kehidupan di Malaysia, termasuk di Sabah.

“Pakej ini bertujuan membantu meringankan beban dan kesulitan dihadapi pelbagai lapisan masyarakat akibat Covid-19,” katanya pada sidang media di bangunan pentadbiran negeri di sini.

Shafie berkata, peruntukan khas RM50 juta akan disalurkan kepada anggota barisan depan bagi menyediakan peralatan kritikal seperti topeng, cecair pembasmi kuman dan peralatan perlindungan diri ketika menjalankan tugas.

“Kami terharu dengan komitmen dan pengorbanan doktor, jururawat, pekerja kesihatan lain serta anggota imigresen dalam melawan virus itu.”

Katanya, RM10 juta untuk menyediakan bekalan makanan buat barisan depan seperti pekerja penjagaan kesihatan dan agensi penguatkuasaan, iaitu polis, imigresen, tentera, anggota Rela dan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) sepanjang pelaksanaan perintah kawalan pergerakan.

Ahli Parlimen Semporna itu berkata, RM20 juta akan digunakan untuk membeli barang keperluan asas seperti beras, tepung dan gula yang akan diagihkan kepada semua kampung di Sabah.

“Unit pembangunan masyarakat akan ditugaskan ke lapangan bagi memastikan semua kampung mendapat bantuan ini.”

Katanya, RM2 juta daripada peruntukan itu untuk meringankan masalah kewangan bagi menampung keperluan harian pelajar Sabah di Semenanjung susulan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan sejak 18 Mac lalu.

Bagi golongan miskin dan miskin tegar, Shafie berkata, Sabah akan memberi bayaran “one-off” RM500 kepada setiap keluarga melalui sistem e-Kasih membabitkan peruntukan kira-kira RM20 juta.

Terdapat 22,456 keluarga miskin dan 15,747 isi rumah yang dikategorikan miskin tegar.

Katanya, lebih 282,000 orang yang dikategorikan di bawah B40 akan menerima bayaran “one-off” RM300.

“Ini terdiri daripada peruntukan RM80 juta yang akan diagihkan kepada rakyat Sabah bekerja di Semenanjung (30,000 orang), pemandu teksi (13,132), nelayan dan petani (169,630), warga emas, anak yatim dan orang kelainan upaya (62,638), ibu tunggal (6,500) dan malim gunung (339).”

Katanya, Sabah juga bersetuju memberi diskaun 30% untuk cukai tanah tahun ini yang akan memanfaatkan 232,774 individu dan 9,184 syarikat.

Potongan 20% juga akan diberikan ke atas kutipan taksiran oleh pihak berkuasa tempatan tahun ini. Terdapat 97,641 pembayar cukai itu di Kota Kinabalu dan 221,470 di daerah lain.

Katanya, penjaja akan dikecualikan bayaran lesen oleh semua PBT tahun ini yang bakal memanfaatkan 26,227 orang di seluruh Sabah. Rebat juga akan diberikan untuk tahun depan kepada mereka yang sudah membuat bayaran bagi lesen tahun ini.

Sabah akan memberi diskaun 28% bil elektrik selama 3 bulan mulai April, tambahan kepada potongan 2% yang diberikan kerajaan persekutuan.

“Ini akan membabitkan RM35.65 juta selama 3 bulan dan memanfaatkan 512,000 pengguna di Sabah serta Labuan.”

Langkah atau peruntukan lain ialah:

*Penduduk Program Perumahan Rakyat (PPR) dikecualikan bayaran sewa selama 6 bulan mulai April yang membabitkan peruntukan RM21.1 juta.

*RM30 juta untuk bayaran elaun 10 bulan kepada Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) membabitkan 2,315 MPKK di Sabah.

*RM40 juta disuntik ke dalam skim kredit peniaga kecil dengan kadar faedah rendah 2% bagi membantu 20,000 pemilik perniagaan kecil-kecilan.

*RM200 juta untuk pelaksanaan 1,000 projek kemudahan asas di perkampungan Kota Kinabalu, Sandakan, Tawau dan daerah lain.

*Suntikan RM50 juta ke dalam Dana Industri Kecil dan Sederhana yang menawarkan pinjaman dengan kadar faedah 3.5%.

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (1)
  • comment-avatar
    admin 2 weeks

    tahniah sabah

  • Disqus ( )