Sabah wujud jawatankuasa pemulihan industri pelancongan

Sabah wujud jawatankuasa pemulihan industri pelancongan

KOTA KINABALU, 22 Okt — Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah akan menubuhkan satu jawatankuasa bagi merangka dan melaksanakan langkah memulihkan industri pelancongan pasca-COVID-19, di negeri ini, kata Menterinya Datuk Jafry Ariffin.

Beliau menerusi kenyataan hari ini berkata jawatankuasa itu bakal dianggotai semua wakil pemain industri pelancongan untuk membicarakan strategi pemulihan industri pelancongan negeri Sabah yang terjejas akibat COVID-19.

“Satu sesi perjumpaan dan perbincangan bersama pemain industri telah diadakan di Wisma Tun Fuad Stephen, Kota Kinabalu pagi tadi bagi membincangkan perkara ini dan langkah-langkah memulihkan industri pelancongan negeri,” katanya.

Turut hadir dalam perjumpaan itu Presiden Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) Datuk Tan Kok Liang, Pengerusi MATTA Sabah Lawrence Chin, Presiden Sabah Travel and Ticketing Datuk Seri Winston Liaw, Presiden Persatuan Pemandu Pelancong Sabah Grace Leong, Pengerusi Bertindak Persatuan Hotel Malaysia Sabah Hafizan Wong, Naib Pengerusi Persatuan Hotel Bajet Sabah Terence Sak dan Timbalan Pengerusi Persatuan Pemandu Pelancong Bumiputra Negeri Sabah Dabalun Balau.

Jafry berkata antara isu yang dibincangkan adalah berkaitan dengan peruntukan khas kerajaan bagi membantu industri pelancongan dan kebajikan pekerja yang terkesan akibat COVID-19.

“Kementerian (Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah) akan bekerjasama dengan beberapa agensi untuk memperhalusi pandangan yang dikemukakan pemain industri pelancongan terutamanya berkaitan dengan bantuan yang disalurkan oleh mereka,” katanya.

Sementara itu, Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Datuk Joniston Bangkuai dalam kenyataan sama berkata jawatankuasa pemulihan industri itu dijangka mengadakan mesyuarat pertama minggu depan.

Beliau mengucapkan ribuan terima kasih atas kerjasama semua pihak dalam jawatankuasa itu yang bakal membincangkan pelan tindakan strategik untuk memperkasa industri pelancongan yang terjejas berikutan impak wabak COVID-19.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This