Sacofa meterai MoU untuk perluaskan liputan komunikasi di Sarawak

Sacofa meterai MoU untuk perluaskan liputan komunikasi di Sarawak

KUCHING,. Syarikat teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang berpangkalan di Sarawak, SACOFA Sdn Bhd telah menandatangani dua Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Danawa Resources Sdn Bhd (Danawa) dan PP Telecommunication Sdn Bhd (PPTel) untuk memperluaskan kesalinghubungan telekomunikasi di negeri ini.

MoU itu ditandatangani selepas majlis perasmian Persidangan Ekonomi Digital Antarabangsa Sarawak Ke-4 (IDECS) di sini, hari ini.

Ia disaksikan Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Pengarah Urusan SACOFA, Zaid Zaini berkata kawasan geografi Sarawak yang luas dan kepadatan penduduk rendah memberi cabaran untuk melaksanakan perkhidmatan telekomunikasi tersebut.

“Sebagai penggiat industri tempatan, kami menjalinkan kerjasama ini untuk meningkatkan kemudahan dan perkhidmatan serta mengelakkan pertindihan sumber. Ia adalah langkah ke hadapan bagi ekosistem telekomunikasi Sarawak…penggiat industri akan bersama-sama berganding bahu mengenainya,” katanya dalam satu kenyataan bersama dikeluarkan.

Sementara itu, Danawa akan meneroka kerjasama berkaitan akses tanpa wayar tetap untuk menyediakan sambungan Internet kepada masyarakat luar bandar di Sarawak, kata kenyataan itu.

Pengarah Urusan Danawa, Abdul Rahman Sepawie berkata kerjasama itu akan mempercepat dan melancarkan pelancaran rangkaian jalur lebar Internet berkelajuan tinggi di semua kawasan terpencil di negeri itu yang akan memberi manfaat kepada masyarakat luar bandar.

“Sebagai timbal balas, ia akan melengkapkan agenda kerajaan negeri dalam mendigitalkan ekonomi negeri dan menyediakan kemudahan ICT kepada masyarakat luar bandar,” katanya.

Dalam pada itu, SACOFA dan PPTel berhasrat untuk meneroka kerjasama dalam inisiatif infrastruktur telekomunikasi untuk manfaat Sarawak.

PPTel berkata ia mahu menjadikan Sarawak sebagai hab alternatif kepada hab sedia ada di rantau ini, seperti Singapura dan Hong Kong, menerusi sistem kabel dasar laut berkapasiti tinggi yang baharu, ia adalah jalan alternatif ke pasaran global.

Ketika ini ia (PPTel) telah menawarkan perkhidmatan Transit Protokol Internet yang selamat untuk memenuhi permintaan data yang meningkat buat masa ini daripada pelanggan runcit dan perusahaan dan pada masa yang sama menyediakan unjuran pertumbuhan yang diharapkan pada dekad akan datang.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This