Safawi dijangka ‘meletup’
KUALA LUMPUR,. Apakah yang membezakan antara kemenangan dan kekalahan bagi sesuatu pasukan?
Sudah tentu adalah jaringan gol yang diperoleh pasukan kerana jika pasukan itu meledak lima gol sekalipun, mereka tetap tewas sekiranya pasukan lawan menjaringkan satu gol lebih berbanding mereka.
Walaupun Liga Super dilabel ‘Liga Gred D’ namun keterujaan menyaksikan penyerang pasukan masing-masing menggelecek dan menjaringkan gol daripada pelbagai sudut tak kira gol cantik ataupun tidak, tetap dinantikan peminat bola sepak tempatan.
Analisis daripada bekas penyerang kebangsaan, Azlan Johar mengenai kemampuan jentera serangan setiap pasukan Liga Super bagi musim 2020.
Secara keseluruhannya, juara Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) dilihat kekal menjadi pasukan nombor satu dalam saingan bola sepak tempatan musim ini.
Sukar untuk menafikan perkara ini namun inilah realiti yang perlu diterima semua penyokong memandangkan skuad Harimau Selatan itu sememangnya memiliki kualiti yang tersendiri daripada segala aspek termasuklah jentera serangannya.
Berdasarkan statistik, mereka menjadi pasukan paling ‘ganas’ musim 2019 apabila menjadi pasukan yang paling banyak menjaringkan gol dalam Liga Super iaitu sebanyak 49 gol iaitu lebih lapan gol mengatasi penjaring kedua terbanyak, Selangor (41 gol).
Statistik ini sedikit sebanyak mencerminkan kualiti jentera serangan yang ada pada JDT dan jika mereka terus konsisten dengan prestasi sebegini, tidak mustahil mereka sekali lagi akan mengekalkan trofi Liga Super di bumi Johor.
1. JDT
Mereka bukanlah satu pasukan yang sempurna kerana mereka tidak mendominasi perlawanan sepenuhnya dan penyerang mereka ada kalanya gagal menyudahkan peluang namun kualiti jentera serangan mereka berfungsi sepenuhnya untuk mendapatkan kemenangan.
JDT mengekalkan pemain import yang menjadi tunjang serangan mereka. Ini adalah antara rahsia jentera serangan mereka sentiasa berjaya meledak gol kerana mereka sudahpun ada persefahaman yang baik kerana sudah bersama untuk tempoh masa yang panjang.
Aksi pemain sayapnya, Safawi Rasid dinantikan dengan dia dijangka terus ‘meletup’. Pada usianya ketika ini, dia menunjukkan persembahan yang lebih matang dan bagus, jadi musim 2020 mungkin menjadi tahunnya.
Walaupun Safawi dilabel ‘kaki bolot’ namun sebagai penjaring gol, sikap itu perlu ada.
Selain JDT, empat lagi pasukan dilihat memiliki jentera serangan pada kualiti yang hampir setara dengan mereka dengan empat pasukan ini dijangka dapat ‘menyukarkan’ JDT dalam perebutan gelaran juara Liga Super 2020.
2. KEDAH
Menamatkan saingan di tangga keempat Liga Super 2019, mereka meledak 37 gol musim lalu namun menggugurkan jentera serangan musim lalu apabila membawa dua penyerang yang dilabel sebagai antara penggempur terbaik Liga Super iaitu Kpah Sherman dan Tchetche Kipre.
Kemasukan pemain ini jelas memberi isyarat betapa Kedah tidak ‘main-main’ untuk mencabar kejuaraan liga musim ini dan pencapaian Sherman selaku Penjaring Terbanyak Liga Super 2019 dan Kipre sebagai Penjaring Terbanyak Piala Malaysia 2018 membuktikan kualiti mereka.
Dengan suasana harmoni dalam kem Kedah, ini memberi petunjuk yang baik kepada persediaan mereka menjelang musim ini.
Aidil Sharin Sahak sekurang-kurangnya boleh menarik nafas lega kerana dua penyerangnya itu pasti boleh diharap untuk membantu pasukan itu merobek gawang lawan.
3. SELANGOR
Situasi sama seperti Kedah di mana Selangor turut memiliki dua gandingan penyerang berbisa yang begitu dinantikan penyokong The Red Giants.
Jika Kedah ada Kpah-Sherman, B Sathianathan memiliki gandingan ‘Rufidayo’ iaitu Rufino Segovia dan Ifedayo Olusegun yang sudahpun membuktikan kredibiliti mereka sebagai penggempur terbaik Liga M.
Rufino muncul Penjaring Terbanyak Liga Super 2018 dengan 31 gol namun diketepikan sepanjang musim lalu susulan kecederaan serius tetapi penggantinya iaitu Ifedayo turut beraksi cemerlang apabila meledak 16 gol sepanjang musim lalu.
Dengan jumlah gol yang dihasilkan dua pemain itu, Selangor tampak memiliki gandingan penyerang yang pasti mampu memberikan masalah kepada mana-mana pertahanan Liga Super.
4. PAHANG dan PERAK
Pahang turut perlu diberikan perhatian memandangkan mereka sah mengikat Dickson Nwakaeme untuk musim 2020.
Penyokong bola sepak tempatan pasti tahu kualiti ‘Orang Besi’ itu yang memiliki kelebihan penyudah yang tajam serta fizikal yang sukar ditumbangkan. Jadi pemain Nigeria itu dijangka menjadi antara pemain yang akan menyerlah musim ini.
Buat Perak, kombinasi ‘saudara Brazil’ antara Careca dan penyerang baharunya, Guilherme de Paula akan menjadi kunci untuk membawa Perak menjadi pesaing pada musim ini.
Persefahaman antara pemain yang sama negara sama sekali tidak akan menjadi masalah walaupun De Paula baru menyertai Perak dan mereka akan dapat memikul tanggungjawab yang diletakkan Mehmet Durakovic.
5. TERENGGANU FC
Antara pasukan yang perlu disaksikan dan mungkin mampu menjadi ‘pengacau’ dengan kualiti yang ada pada mereka. Rekod mereka musim lalu juga agak baik apabila menghasilkan 35 gol.
Jentera serangan mereka ada kualiti yang tersendiri namun belum cukup untuk mencabar kelompok lima pasukan seperti dinyatakan di atas.
Malah, kemasukan penyerang baharu juga mencetuskan rasa misteri kerana kita tidak begitu tahu mengenai kemampuannya sama ada mampu beraksi dengan baik ataupun bergelut sehingga terpaksa digantikan pada jendela perpindahan kedua nanti.
6. MELAKA, PJ CITY FC, FELDA UNITED, SABAH, PDRM, UiTM FC
Ini tidak bermakna jentera serangan enam pasukan ini buruk tetapi mereka tidaklah sebaik seperti enam pencabar yang lain.
Menarik untuk menyaksikan bagaimana jentera serangan tiga pendatang baharu iaitu Sabah, PDRM dan UiTM FC yang bakal bersaing dalam Liga Super 2020
Selaku juara Liga Perdana, Sabah meledak 33 gol musim lalu namun mereka perlu meningkatkan lagi permainan jika mahu mendapatkan jumlah yang sama memandangkan intensiti Liga Perdana dan Liga Super sudah pasti berbeza.
Begitu juga dengan UiTM FC yang beraksi buat kali pertama dalam saingan elit itu. Prestasi musim lalu sememangnya cemerlang apabila mereka merekod 33 gol namun persoalannya, adakah nombor sama boleh dicatat apabila mereka akan berdepan ‘gergasi’ Liga M?
7. FELDA UNITED dan PDRM dijangka bergelut
Dua pasukan ini mungkin berdepan cabaran besar selepas mereka melakukan rombakan besar dan membawa masuk ramai pemain baharu.
Masalah utama sudah pasti membabitkan persefahaman yang perlu dibentuk antara pemain bagi mendapatkan mutu permainan yang dimahukan.
Jadi kemasukan ramai muka baharu agak menyukarkan mereka mendapatkan persefahaman dan dua pasukan ini dijangka bergelut untuk memulakan musim dengan baik terutama PDRM yang membuka saingan dengan mata negatif tiga.