Sagu hati jemaah umrah dikreditkan pada 18 Feb ini
PUTRAJAYA,. Pembayaran sagu hati sebanyak RM1,671 seorang kepada jemaah umrah yang membatalkan pemergian susulan penangguhan sementara kebenaran perjalanan umrah akan dibuat pada 18 Februari ini, kata Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Idris Ahmad.
Pembayaran sagu hati itu dikreditkan hanya menggunakan akaun simpanan Tabung Haji (TH) jemaah umrah bagi memudahkan urusan, katanya dalam satu kenyataan semalam.
“Kerajaan Malaysia akan menyalurkan pembayaran sagu hati sebagai tanda keprihatinannya kepada jemaah umrah yang terpaksa membatalkan pemergian ke Tanah Suci akibat penularan jangkitan virus Omicron bermula 8 Januari lepas,” katanya.
Kerajaan sebelum ini menangguhkan sementara kebenaran perjalanan mengerjakan ibadah umrah bermula 8 Januari bagi membendung penularan wabak COVID-19 varian Omicron.
Ibadah tersebut bagaimanapun dibenarkan semula pada 8 Februari lepas dengan prosedur operasi standard (SOP) baharu antaranya jemaah umrah diwajibkan menerima dos penggalak.
Individu bertanggungjawab daripada ejen pelancongan juga perlu memantau kepatuhan jemaah umrah semasa di Tanah Suci, perjalanan balik ke Malaysia dan semasa di pintu masuk antarabangsa Malaysia.
Menurut Idris, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) telah menyerahkan senarai nama sebanyak 8,027 jemaah umrah yang terkesan dan layak menerima sagu hati tersebut dan daripada jumlah itu, hampir 1,000 jemaah umrah masih belum mempunyai akaun simpanan TH.
“Oleh kerana kaedah bayaran adalah melalui akaun simpanan TH, maka saya menyeru semua jemaah umrah yang masih belum mempunyai akaun simpanan TH diminta untuk membuka akaun TH sebelum 18 Februari,” katanya.
Idris berkata jemaah umrah boleh melayari www.thijari.com.my untuk membuka akaun simpanan TH secara dalam talian dan hadir ke kaunter TH terdekat bagi proses pengaktifan akaun secara biometrik, atau hadir terus ke cawangan TH terdekat untuk tujuan pendaftaran jika mempunyai kesukaran mendaftar secara dalam talian.
“Para jemaah yang terkesan akan dilayan dengan serta-merta tanpa perlu beratur dan menunggu lama,” katanya.
— BERNAMA