Saham KL dibuka rendah

Saham KL dibuka rendah

KUALA LUMPUR,. Saham di Bursa Malaysia dibuka rendah pagi ini seiring dengan prestasi lemah pasaran ekuiti global lain berikutan keadaan turun naik terutamanya di Wall Street.

Pada 9.06 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 5.57 mata kepada 1,529.41 daripada paras penutup 1,534.98 pada Khamis selepas dibuka turun 5.97 mata kepada 1,529.01 pagi ini.

Di keseluruhan pasaran, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 172 berbanding 95 dengan 185 kaunter tidak berubah, 1,540 tiddak diniagakan dan 22 yang lain digantung.

Jumlah dagangan berjumlah 131.90 juta saham bernilai RM63.55 juta.

Malacca Securities Sdn Bhd berkata ekuiti global yang kekal tidak menentu terus mempengaruhi ekuiti Malaysia namun ia percaya penurunannya akan sederhana kerana para pelabur terus memantau pakej rangsangan negara yang akan diumumkan tidak lama lagi.

“Kami juga merasakan peningkatan dalam waktu terdekat terhad hanya dalam kalangan saham indeks FBM Small Cap, FBM ACE dan FBM Fledgling apabila pelabur terus memantau keputusan pendapatan korporat ketika ini,” kata firma penyelidikan itu dalam satu nota.

Malacca Securities mengunjurkan paras sokongan masing-masing berada pada 1,520 dan 1,515.

Dalam kalangan kaunter wajaran tinggi di Bursa Malaysia, Maybank naik satu sen kepada RM8.43, Tenaga susut empat sen kepada RM12.74, Public Bank berkurangan lapan sen kepada RM18.04 dan Petronas Chemicals jatuh tiga sen kepada RM6.52.

Dalam kalangan kaunter cergas, Eduspec dan XOX setiap satu tidak berubah masing-masing pada 2.5 sen dan lima sen, Perdana Petroleum turun 2.5 sen kepada 45.5 sen tetapi PA Resources meningkat setengah sen kepada tujuh sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 34.22 mata kepada 10,954.51, Indeks FBM Emas Shariah susut 43.96 mata kepada 11,662.86 dan Indeks FBMT 100 jatuh 35.26 mata kepada 10,739.68.

FBM 70 berkurangan 29.82 mata kepada 13,893.08 manakala FBM Ace turun 15.42 mata kepada 5,635.28.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 0.45 mata kepada 146.37, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 37.16 mata kepada 14,662.96 dan Indeks Perladangan jatuh 31.11 mata kepada 7,119.21.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This