Salur aduan lengkap kenaikan harga beras di pasaran – Armizan

Salur aduan lengkap kenaikan harga beras di pasaran – Armizan

KOTA KINABALU,. Pemangku Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali menasihatkan pengguna agar membuat aduan segera berhubung isu kenaikan harga barang termasuk beras di pasaran bagi memudahkan pihak penguat kuasa mengambil tindakan.

Beliau berkata aduan yang dikemukakan itu perlu disertakan maklumat lengkap dan terperinci bagi memudahkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) membuat semakan sebelum tindakan lanjut diambil terhadap pihak tidak bertanggungjawab terbabit.

“Kalau setakat tular gambar dan video tetapi tiada maklumat, mungkin dalam tempoh kita (KPDN) kami mencari maklumat, pihak yang melakukan kesalahan akan bertindak menyembunyikan (kesalahan).

“Saya harapkan kita dapat kerjasama daripada masyarakat. Lebih banyak aduan, lebih kita suka kerana inilah fungsi dan tanggungjawab KPDN,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Jelajah Mini Karnival Barangan Malaysia 2023 Zon Sabah di sini hari ini.

Armizan berkata KPDN telah menerima 142 aduan mengenai kenaikan harga beras di seluruh negara menerusi Op Jamin yang dilancarkan pada Julai lepas.

Di Sabah, Armizan berkata sebanyak 295 pemeriksaan telah dilakukan sejak Julai ke atas premis perniagaan sebagai usaha memastikan tidak ada pihak mengambil kesempatan menaikkan harga beras hingga membebankan pengguna.

Beliau berkata kementerian juga telah menubuhkan Unit Risikan Perniagaan berkuat kuasa pada 1 Sept lepas yang antara lain untuk bertindak terhadap aduan yang berkaitan, selain melakukan risikan awal bagi mengekang isu kartel dalam rantaian bekalan.

Mengulas mengenai jelajah mini karnival itu, beliau berkata ia dianjurkan bertujuan menggalakkan rakyat Sabah supaya memberi keutamaan kepada barangan buatan tempatan, selain ia juga adalah inisiatif kerajaan menerusi Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM).

“Pelaksanaan KBBM pada tahun ini adalah langkah tepat kerajaan melalui KPDN dalam meneruskan usaha memartabatkan barangan Malaysia ketika isu peningkatan kos sara hidup dan krisis ekonomi yang melanda seluruh dunia pada ketika ini,” katanya.

Jelajah mini karnival itu berlangsung hingga esok melibatkan pempamer yang menawarkan pelbagai keunikan produk tempatan.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This