Samassa, Rowley cemerlang bantu Tok Gajah benam Negeri Sembilan

Samassa, Rowley cemerlang bantu Tok Gajah benam Negeri Sembilan

KUANTAN,. Ketua jurulatih Sri Pahang FC, Datuk Dollah Salleh memuji dua tonggak utama pasukannya yang beraksi cemerlang bagi membantu menewaskan Negeri Sembilan 2-0 di laman sendiri dalam saingan Liga Super, malam tadi.

Beliau berkata, penjaga gol Mamadou Samassa dan pemain tengah David William Rowley menampilkan prestasi terpuji terutamanya Rowley yang baru sembuh daripada kecederaan.

“Mamadou memainkan peranan penting malam ini (tadi) apabila banyak menyelamatkan gawang daripada dibolosi dan Rowley hampir menjaringkan hatrik.

“Malah, semua pemain juga bermain lebih baik malam ini (tadi) berbanding semasa bertemu Sabah sebelum ini, mereka tidak melepaskan peluang untuk menjaringkan gol,” katanya kepada pemberita selepas tamat perlawanan di Stadium Darul Makmur di sini.

Pada perlawanan itu, Rowley menceriakan skuad Tok Gajah apabila menjaringkan gol pertama pada minit ke-27 dengan menanduk masuk bola hasil hantaran Manuel Federico Hidalgo sebelum menambah jaringan pada minit ke-47.

Sementara itu, pengendali Negeri Sembilan, K. Devan mengakui Sri Pahang lebih berhak memenangi perlawanan berkenaan susulan anak buahnya mempamerkan prestasi di bawah tahap sebenar.

Beliau berkata pasukannya banyak memberi ruang kepada pihak lawan untuk menjaringkan gol, terutama bahagian pertahanan yang menampilkan aksi goyah.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This