Sambutan HSN 2021 penuh makna selepas 2020 tidak dapat dianjurkan

Sambutan HSN 2021 penuh makna selepas 2020 tidak dapat dianjurkan

PUTRAJAYA,. Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyifatkan sambutan Hari Sukan Negara (HSN) pada tahun ini penuh makna setelah setahun tidak dapat diadakan ekoran pandemik COVID-19.

Merasmikan HSN 2021 di Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di sini hari ini, Ismail Sabri berkata sambutan tahun ini yang berlangsung secara hibrid dan maya adalah untuk meraikan usaha dan kejayaan dalam membudayakan sukan dan riadah seperti yang digariskan dalam Dasar Sukan Negara 2009.

Menurutnya, sejak Hari Sukan Negara mula disambut pada 2015, negara telah meletakkan status aktiviti sukan dan riadah sebagai agenda nasional dalam melahirkan rakyat yang sihat, aktif dan cergas.

“Sebagai individu yang pernah menjawat portfolio Menteri Belia dan Sukan, saya faham betapa sambutan sebegini memerlukan komitmen tinggi daripada semua pihak,” katanya yang merakamkan ucapan syabas kepada Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang berusaha memastikan acara hari ini disambut serentak di seluruh negara.

Sempena HSN 2021, KBS merancang beberapa program ikonik di peringkat kebangsaan antaranya Mega Aerobic Challenge dan Virtual Run.

Ismail Sabri berkata kerajaan maklum bahawa seluruh ekosistem sukan menerima kesan yang hebat ekoran pandemik COVID-19 apabila aktiviti sukan yang merupakan sebahagian daripada aktiviti sosial tidak dapat dilakukan secara bebas.

Menurutnya, sebanyak 1,968 perniagaan berkaitan sukan difahamkan terpaksa menamatkan operasi pada tahun lepas kerana kekurangan modal pusingan dan tidak dapat menampung kos operasi.

Sebahagian besar daripadanya ialah promoter dan penganjur acara sukan, perniagaan runcit barangan sukan, pusat kecergasan serta tenaga pengajar sukan.

“Seiring prinsip kerajaan memastikan ‘tiada rakyat yang tercicir atau terpinggir’, segala keresahan dan kebimbangan yang dirasai oleh para penggiat sektor sukan terus diberi perhatian oleh kerajaan,” katanya.

Menurut perdana menteri bagi membantu penggiat industri sukan yang terjejas, KBS pada 5 Julai lepas (2021) telah mengumumkan beberapa Inisiatif Prihatin Belia dan Sukan (IPBS) khusus untuk penggiat industri sukan di Malaysia yang terkesan akibat pandemik COVID19.

Ismail Sabri berkata Prosedur Operasi Standard (SOP) Sektor Sukan dan Rekreasi yang digubal dalam Pelan Pemulihan Negara (atau PPN) adalah merupakan inisiatif awal bagi memastikan aktiviti sektor itu dapat beroperasi semula.

Beliau berkata pembukaan semula aktiviti sukan dan rekreasi pada 9 September lepas telah merancakkan kembali aktiviti berkenaan dengan pematuhan SOP yang ketat.

Beliau dimaklumkan dalam tempoh sebulan selepas keizinan itu diberikan, jumlah penyertaan dalam aktiviti sukan telah melebihi 1.4 juta orang, melibatkan aktiviti yang bermanfaat termasuklah sukan bermotor dan sukan ekstrem.

Ismail Sabri turut mengajak rakyat Malaysia menjadikan sukan dan riadah dalam norma baharu sebagai amalan harian Keluarga Malaysia yang sihat, aktif dan cergas.

“Sepanjang tempoh bersukan dan beriadah, teruslah mematuhi SOP yang ditetapkan, demi nyawa dan kesihatan seluruh Keluarga Malaysia. Selamat bersukan dan selamat beriadah,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )