Sampai masa AFF, AFC bergerak ke hadapan?

Sampai masa AFF, AFC bergerak ke hadapan?

KUALA LUMPUR,. Pemain memohon pelepasan daripada mewakili skuad kebangsaan bukan isu baharu dalam senario bola sepak tempatan apabila perkara itu berterusan menjelang kempen Piala Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) 2022 dari 20 Dis sehingga 16 Jan tahun depan.

Sebelum mendakwa pemain yang ‘menolak’ mewakili negara tidak mempunyai semangat patriotisme, semua pihak perlu mengambil maklum bahawa Piala AFF ialah kejohanan dianjurkan di luar jendela antarabangsa Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Berdasarkan Peraturan Status dan Perpindahan Pemain FIFA Lampiran 1: Bahagian Pelepasan Pemain Kepada Pasukan Kebangsaan Perkara 6 menyatakan bahawa adalah tidak wajib untuk melepaskan pemain di luar jendela antarabangsa atau kejohanan akhir yang termasuk dalam kalendar aksi antarabangsa.

Justeru, penganjuran Piala AFF di luar jendela antarabangsa FIFA itu membolehkan pemain ataupun kelab terlibat yang bertindak sebagai majikan, tidak melepaskan pemain-pemain yang dikehendaki atas pelbagai sebab termasuk hal peribadi, urusan keluarga dan kecederaan.

Namun, sesuatu perkara yang berlaku mempunyai kesan dari sudut positif dan negatif dengan pemain yang tidak beraksi untuk pasukan negara di luar jendela antarabangsa dapat berehat selepas mengharungi musim yang panjang sebelum kembali menjalani latihan bersama kelab masing-masing.

Selain itu, kelab turut tidak berdepan risiko kecederaan pemain yang mampu menggugat persediaan pasukan menghadapi musim baharu selain perlu mengeluarkan perbelanjaan bagi menampung kos rawatan, apatah lagi saingan Piala AFF sering kali dianjurkan pada penghujung tahun.

Dari sudut berbeza, trend menolak panggilan mewakili negara dilihat bukan sahaja akan menjejaskan mutu permainan skuad kebangsaan dan memberi tugas tambahan kepada barisan kejurulatihan untuk membentuk pasukan terkuat, malah mampu menghakis minat penyokong.

Sokongan padu peminat boleh bertukar pudar jika skuad kebangsaan beraksi tanpa kelibat pemain utama, malah mungkin berupaya menjejaskan jumlah kehadiran di stadium kerana pemain umpama magnet yang memiliki aura tersendiri untuk menarik puluhan ribu penyokong ke venue perlawanan.

Baru-baru ini, 12 pemain menarik diri daripada mewakili skuad kebangsaan ke Piala AFF 2022 atas pelbagai sebab termasuk hal peribadi, urusan keluarga dan kecederaan selepas perbincangan antara Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Ketua Jurulatih Kim Pan Gon dan kelab-kelab terlibat.

Antara yang menarik diri ialah tujuh pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) – Shahrul Mohd Saad, La’vere Lawrence Corbin-Ong, Muhammad Nazmi Faiz Mansor, Arif Aiman Mohd Hanapi, Muhammad Akhyar Abdul Rashid, Matthew Davies dan Muhammad Syafiq Ahmad.

Selepas penarikan diri 12 pemain itu, dua pemain Kuala Lumpur (KL) City FC iaitu Muhammad Akram Mahinan dan Declan Lambert memohon untuk dikecualikan atas sebab peribadi pada Selasa lepas.

Justeru, penulis berpendapat sudah tiba masa AFF melakukan perubahan dengan memberi nafas baharu selari dengan peredaran zaman bagi memastikan kejohanan kelolaan mereka terus kekal relevan untuk tahun mendatang serta berupaya menarik penglibatan pemain utama.

Perubahan juga perlu bermula dengan badan induk bola sepak Asia sendiri iaitu Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) tatkala Kesatuan Persatuan Bolasepak Eropah (UEFA) sudah pun memperkenalkan UEFA Nations League untuk ahli gabungannya.

Pertandingan itu secara umumnya menggantikan perlawanan persahabatan yang sebelum ini berlangsung pada jendela antarabangsa FIFA, dengan pasukan Eropah akan terlibat dalam aksi kompetitif yang lebih kerap menentang pasukan Eropah lain yang mempunyai kualiti setanding.

Penganjuran Liga Bangsa versi Asia melibatkan keseluruhan 47 ahli gabungan AFC akan mewujudkan perlawanan-perlawanan yang lebih bermakna kerana terdapat format promosi dan penyingkiran selepas pasukan dibahagikan ke beberapa bahagian berdasarkan ranking terkini FIFA.

Situasi itu jelas dapat memastikan setiap pasukan yang bertanding akan memberi persembahan terbaik untuk mendapatkan promosi ke bahagian lebih tinggi serta mengelak daripada diturunkan ke bahagian yang lebih rendah.

Liga Bangsa versi Asia akan turut membuka peluang buat skuad Harimau Malaya untuk menguji kekuatan berdepan pasukan gergasi Asia seperti Iran, Jepun, Korea Selatan, Australia, Qatar dan lain-lain.

Kesimpulannya, penulis berpandangan AFF ataupun AFC perlu mengambil inisiatif untuk memastikan semua ahli gabungannya mendapat manfaat sewajarnya bagi menghakis perspektif “pasukan kuat akan terus kuat manakala pasukan lemah akan berterusan lemah”.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This