Samsung lancar Galaxy Fold di Korea 6 September

SEOUL,. Samsung Electronics Co Ltd, berkata telefon pintar boleh lipat pertama, Galaxy Fold, boleh didapati di Korea Selatan mulai 6 September dengan penyambungan mudah alih generasi kelima (5G).

Vendor telefon pintar terbesar di dunia itu berkata, peranti itu akan dijual pada harga 2,398 juta won (AS$ 1,977.47) seunit.

Peranti mudah alih yang dinanti-nantikan itu pada asalnya dijangka memasuki pasaran Amerika Syarikat (AS) pada April tetapi pelancaran ditunda disebabkan kecacatan skrin yang dikesan pada sampel.

Firma itu berkata, ia akan menawarkan Galaxy Fold versi 5G dan LTE di beberapa negara terpilih termasuk Britain, Perancis, Jerman dan AS. Ia tidak menyediakan tarikh pelancaran.

Samsung berjanji memperkenalkan era baharu peranti boleh lipat sebagai sebahagian daripada usaha untuk mempamerkan inovasi dalam pasaran telefon pintar yang tepu.

Syarikat itu Julai lalu mengumumkan ia bersedia menjual Galaxy Fold pada September selepas membuat perubahan termasuk menguatkan engsel, yang didapati bermasalah sebelum ini.

Samsung akan menyediakan program untuk pengguna Galaxy Fold yang mana syarikat itu melindungi 70 peratus daripada kos pembaikan skrin paparan sekali dalam tempoh setahun, demikian menurut kenyataan syarikat. – Reuters

CATEGORIES
TAGS
Share This