Samsung perkenal televisyen gaya hidup baharu
PETALING JAYA,. Samsung Electronics hari ini memperkenalkan televisyen (TV) gaya hidup baharu yang terdiri daripada The Sero, The Serif dan The Frame yang dilengkapi dengan ciri-ciri unik serta reka bentuk menarik.
“Kami di Samsung TV sebenarnya telah berkembang sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Kami mendapat banyak inspirasi daripada keperluan baharu pengguna terutamanya generasi muda.
“Kami mahu menyepadukan gaya hidup baharu menerusi TV yang berbeza daripada TV konvensional,” kata Ketua TV dan AV (CE) Samsung Calvert Khang Wei Yeap kepada pemberita semasa satu sesi eksklusif yang diadakan di Atap.co Experience Centre, The Square, Jaya One, di sini.
The Sero (43 inci) dijual pada harga RM6,999, The Serif (55 inci) RM6,499 manakala The Frame (55 inci dan 65 inci) masing-masing pada RM6499 dan RM10999.
Satu daripada ciri unik The Sero adalah ia boleh berpusing antara mod landskap dan potrait sambil memberikan pengalaman yang dioptimumkan untuk telefon mudah alih.
“Inovatif ini juga telah mendapat pengiktirafan di pentas global, apabila menerima anugerah emas pada Anugerah Reka Bentuk Forum Antarabangsa (IF) 2020,” kata Khang.
Sementara itu, The Serif dilengkapi, antara lainnya, dengan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) yang membolehkan penonton melihat kandungannya dalam resolusi 4K manakala bunyi bising latar dikurangkan.
The Frame pula tampil dengan teknologi QLED 4K Samsung yang membawakan hiburan dan seni mewah ke rumah pengguna seolah-olah seperti berada dalam galeri seni.
“Apabila TV dipadamkan, The Frame akan memaparkan lebih 1,200 hasil seni daripada artis terkemuka dunia dan galeri termasuk Museo Del Prado, The Alberinta dan banyak lagi,” kata Samsung.
— BERNAMA