Sanchez terpaksa lupakan separuh akhir Liga Europa

Sanchez terpaksa lupakan separuh akhir Liga Europa

MILAN,. Penyerang Inter Milan, Alexis Sanchez kemungkinan besar terlepas aksi separuh akhir Liga Europa menentang Shakhtar Donetsk, awal pagi Selasa ini selepas mengalami kecederaan hamstring.

Pemain berusia 31 tahun dari Chile itu mengalami kecederaan berkenaan ketika Inter melakar kemenangan 2-1 ke atas Bayer Leverkusen dalam aksi suku akhir di Jerman.

“Sanchez menjalani pemeriksaan pagi ini (malam tadi) di Duisburg dan mendapati dia mengalami kecederaan hamstring.

“Keadaannya akan dinilai semula dalam beberapa hari akan datang,” kata Inter menerusi kenyataan yang dikeluarkan.

Inter ketika ini dalam misi untuk menjulang trofi Liga Europa buat kali pertama sejak kali terakhir melakukannya pada 1998.

Satu lagi aksi separuh akhir membabitkan pertemuan antara bekas kelab Sanchez, Manchester United menentang Sevilla dengan final dijadual berlangsung 21 Ogos ini di Cologne.

Sanchez turut dihantui masalah kecederaan ketika mula berpindah ke Inter secara pinjaman daripada United awal musim ini.

Bagaimanapun, dia kembali bangkit selepas tamat perintah berkurung susulan pandemik COVID-19 apabila membantu Inter menamatkan saingan Serie A di tempat kedua di belakang Juventus.

Dia juga melengkapkan perpindahannya secara tetap ke Inter, minggu lalu. – AFP

CATEGORIES
TAGS
Share This