Sarawak Bantu Petani, Nelayan Atasi Lambakan Hasil

Sarawak Bantu Petani, Nelayan Atasi Lambakan Hasil

KUCHING,. Kerajaan negeri memperuntukkan RM2.3 juta bagi membantu petani dan nelayan menyelesaikan lambakan hasil pertanian dan perikanan, sekali gus memastikan sumber pendapatan golongan itu tidak terjejas kesan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Muda Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail, berkata daripada jumlah itu, petani menerima bantuan sebanyak RM1.7 juta.

“Di bawah program ini, Kerajaan Sarawak melalui Kementerian Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak (MANRED), dengan kerjasama Jabatan Pertanian Sarawak (DOA Sarawak), 28 Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) akan membeli lambakan hasil ladang yang tidak dapat dijual secara borong.

“Ini bertujuan untuk memastikan kesinambungan rantaian bekalan makanan di Sarawak. PPK memainkan peranan proaktif sebagai pemborong dalam mengimbangi pasaran bekalan dan permintaan di antara bahagian,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, setakat 11 April lalu, sejumlah 39 tan hasil pertanian merangkumi buah-buahan dan sayur-sayuran dedaun dibeli dari lebih 30 petani dengan nilai mencecah RM90,000.

Beliau berkata, maklum balas dari petani dengan pelaksanaan program itu juga sangat memberangsangkan.

Katanya, inisiatif itu juga menyediakan ruangan untuk menghubungkan petani dengan pemborong dengan Program Jualan Terus Dari Ladang yang pertama dijadualkan bermula pada 14 April ini di Kompleks Islam Sarawak, Miri.

Bagi nelayan pula, katanya Kerajaan Sarawak melalui MANRED, dengan kerjasama Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Persatuan Nelayan Kawasan (PNK), memperuntukkan sejumlah RM600,000 untuk melaksanakan program pembelian hasil tangkapan ikan.

“PNK akan memainkan peranan sebagai pemborong dan terbabit dalam aktiviti pemasaran melalui penghantaran pesanan barang dari dalam talian dan penjualan secara borong menggunakan lori bergerak.

“Setakat 12 April lalu, sejumlah 485 kilogram hasil tangkapan bernilai RM6,300 dibeli dari lima PNK di Sarawak,” katanya.

CATEGORIES
TAGS
Share This