Sarawak dan Kelantan beralih ke Fasa 4 PPN
KUCHING,. Sarawak dan Kelantan kini beralih ke Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN) berkuatkuasa 3 Januari 2022, kata Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammudin Hussein.
Ini diputuskan setelah mengambil kira penilaian risiko semasa yang dilaksanakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dan Majlis Keselamatan Negara.
“Dengan peralihan fasa bagi kedua-dua negeri berkenaan, bermakna kesemua negeri di Malaysia telah beralih ke Fasa 4 PPN.
“Saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada semua pihak khususnya Kerajaan Negeri yang bertungkus-lumus mengurus situasi pandemik di negeri masing-masing terutama demi memenuhi nilai ambang yang ditetapkan di bawah PPN,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
SOP bagi negeri-negeri yang memasuki Fasa 4 PPN adalah sama dengan sebelum ini. Keterangan SOP terkini akan dikemaskini oleh MKN di laman sesawang rasmi www.mkn.gov.my.
Beliau turut menyeru orang ramai agar tidak berasa terlalu selesa dengan situasi COVID-19 meskipun beralih ke Fasa 4.
COVID-19 masih merupakan satu ancaman kepada keselamatan dan kesihatan terutama dengan penularan varian Omicron. Semua pihak harus terus mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan dengan penuh disiplin dan bertanggungjawab.
“Pakai pelitup muka, amal penjarakan fizikal, dapatkan dos penggalak sekiranya layak, lakukan ujian pengesanan COVID-19 secara berkala dan amalkan TRIIS dengan sebaik mungkin,” pesannya.