Sarawak Energy, Petronas meterai MoU bagi kerjasama hidrogen

Sarawak Energy, Petronas meterai MoU bagi kerjasama hidrogen

KUCHING,. Sarawak Energy Bhd dan Petroliam Nasional Bhd (Petronas) hari ini memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) untuk bekerjasama dalam pengeluaran komersial hidrogen hijau dan penerokaan rantaian bekalan nilainya di Asia.

Pemeteraian itu merupakan pencapaian penting dalam usaha Sarawak menceburi eksport tenaga dengan hidrogen sebagai pembawa tenaga untuk memenuhi permintaan terhadap tenaga bersih global dan menjadikan negeri ini sebagai hab kepada rantaian nilai hidrogen.

Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menyaksikan majlis pemeteraian itu yang dijalankan secara maya antara kedua-dua syarikat tenaga terkemuka yang akan memulakan penilaian teknologi komersial bersama untuk kemudahan pengeluaran hidrogen berskala besar.

“Penilaian itu meliputi kemungkinan menggunakan kuasa hidro boleh baharu Sarawak dalam proses elektrolisis untuk menghasilkan hidrogen hijau, dan dalam berbuat demikian, menjana Sijil Tenaga Boleh Baharu (RE) untuk menyokong pasaran RE,” menurut Sarawak Energy dan Petronas dalam kenyataan bersama.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Sarawak Energy Datuk Sharbini Suhaili menandatangani MoU itu bagi pihak syarikat manakala Petronas diwakili oleh Naib Presiden Eksekutif dan CEO untuk gas dan tenaga baharu, Adnan Zainal Abidin.

Majlis itu turut dihadiri secara maya oleh Pengerusi Sarawak Energy Datuk Amar Abdul Hamed Sepawi, Presiden dan CEO Kumpulan Petronas Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz dan Pengarah Datuk Ibrahim Baki.

Abang Johari berkata kerajaan Sarawak sentiasa menyokong kerjasama dan penyelidikan berkaitan hidrogen berikutan ia percaya pada masa depan hidrogen sebagai sumber bahan api yang kompetitif.

“Kami telah bermula dengan Sarawak Energy dan pihak yang berkaitan untuk mengkaji potensi hidrogen dan bagaimana untuk menghasilkan hidrogen berasaskan sumber RE yang boleh didapati di Sarawak. Saya yakin hidrogen mempunyai peranan penting dalam tenaga mampan pada masa depan walaupun kos pengeluaran pada masa ini tinggi.

“Dari semasa ke semasa dan dengan teknologi pengeluaran yang cekap, terdapat kemungkinan kos pengeluaran hidrogen akan berkurangan dan berdaya saing dengan bahan api lain,” katanya.

Sementara itu, Sharbini menyifatkan kerjasama itu sebagai satu lagi pencapaian penting sejajar dengan aspirasi Sarawak untuk menceburi pengeluaran dan penggunaan hidrogen dalam pelbagai industri.

“Sarawak Energy yakin kerjasama strategik seperti ini akan memberi manfaat kepada kita semua dalam banyak cara termasuk mengukuhkan keupayaan penyelidikan kita dan meningkatkan pengetahuan dalam teknologi dan pembangunan berkaitan hidrogen,” katanya.

Tengku Muhammad Taufik, berkata kerjasama dengan Sarawak Energy akan meningkatkan lagi kerjasama tenaga selama empat dekad dengan Sarawak yang kini merangkumi hidrogen sebagai pembawa tenaga bersih.

“Kami gembira untuk memulakan bab baharu perjalanan pertumbuhan kami bersama Sarawak yang akan mengubah landskap tenaga di negeri ini,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This