Sarawak Energy siapkan kerja-kerja bagi membolehkan lencongan Sungai Hep Baleh

KUCHING,. Projek Hidroelektrik Baleh (HEP), projek hidrokuasa terbesar Sarawak Energy Bhd setakat ini, yang berkapasiti 1,285 MW telah mencatat pencapaian penting dengan kejayaan menyiapkan terowong dua lencongan, pengalihan sungai dan kerja-kerja penutupan pada Oktober.

Upacara memohon rahmat atau “miring” telah diadakan pada Rabu berikutan permintaan masyarakat setempat sebagai menandakan penyiapan yang selamat bagi pakej penting projek ini.

Dalam kenyataan hari ini, Sarawak Energy berkata penyiapan terowong lencongan, pengalihan dan penutupan sungai itu adalah sebahagian daripada enam pakej kerja projek Baleh.

Menteri Utiliti Sarawak Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom mengucapkan tahniah kepada Sarawak Energy dan memberi pujian kepada pasukan projek Baleh serta kontraktor berikutan tumpuan yang berterusan terhadap projek itu meskipun berdepan pelbagai cabaran di tapak projek dan pandemik COVID-19 yang berpanjangan.

“HEP Baleh merupakan satu daripada projek infrastruktur terbesar kerajaan negeri Sarawak dan projek hidrokuasa terbesar Sarawak Energy setakat ini. Projek ini amat penting ke arah memperoleh kapasiti tenaga yang diperlukan bagi pertumbuhan dan pembangunan masa depan Sarawak.

“Ia juga akan menyokong hasrat negeri ini untuk mencapai status berpendapatan tinggi menjelang 2030 dalam menyediakan hidrokuasa boleh baharu untuk pertumbuhan kami.

“Projek ini dijangka memerlukan khidmat kira-kira 3,000 orang dan saya berharap dapat menyaksikan Sarawak Energy mencapai sasaran kejayaan pentingnya pada masa depan dengan sokongan daripada kerajaan,” kata Rundi.

Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan Sarawak Energy Datuk Sharbini Suhaili berkata HEP Baleh akan menyumbang ke arah mengekalkan status syarikat itu sebagai penyedia tenaga boleh baharu yang terbesar di Malaysia.

“Projek ini melibatkan pelbagai pihak berkepentingan dengan keperluan yang berbeza, dan untuk menyeimbangkannya, sokongan daripada kerajaan dan masyarakat adalah penting agar kami dapat memenuhi sasaran menyiapkan terowong lencongan untuk pengalihan sungai,” katanya sambil menambah bahawa ia sangat penting ke arah mencapai sasaran pengoperasian HEP Baleh menjelang 2026.

Beliau berkata, apabila beroperasi sepenuhnya pada 2026, HEP Baleh akan menyertai loji hidrokuasa Sarawak termasuk Batang Ai, Murum dan Bakun bagi menyokong aspirasi Sarawak untuk menjadi kuasa tenaga boleh baharu dan mampu milik serantau.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )