Sarawak idam gelaran juara SUKMA Johor

Sarawak idam gelaran juara SUKMA Johor

MIRI,. Kontinjen Sarawak optimis untuk membawa pulang gelaran juara pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Johor yang dijadualkan berlangsung pada Julai tahun depan.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata meskipun SUKMA Johor sudah beberapa kali ditangguhkan sejak 2020, namun atlet tetap bersemangat menjalani latihan.

“Kita sudah lama tidak mengidamkan gelaran juara, sehubungan itu dalam tempoh dua tahun ini sejak SUKMA Johor tertangguh akibat pandemik COVID-19, kita mensasarkan gelaran juara kembali kepada Sarawak,” katanya dalam sidang media Program Vaksinasi Atlet, Jurulatih dan Pegawai Sukan SUKMA Sarawak di Universiti Curtin Sarawak hari ini.

Mengulas lanjut, Abdul Karim berkata penangguhan SUKMA Johor memberi manfaat kepada beberapa acara yang membolehkan para atlet bersiap sedia lebih rapi dalam memburu pingat emas.

“Kita mengakui penangguhan SUKMA Johor sejak 2020 merencatkan sedikit persiapan atlet terutama kelayakan dan usia atlet yang melebihi 21 tahun.

Bagaimanapun, jawatankuasa SUKMA kebangsaan telah menambah kelayakan usia pada SUKMA Johor tahun depan kepada 23 tahun dan ini sangat melegakan kita,” katanya.

Abdul Karim meninjau keadaan para atlet SUKMA Sarawak yang sedang menunggu untuk divaksin di Universiti Curtin Sarawak hari ini.

Sementara itu, seramai 49 atlet dan jurulatih di Miri bagi acara ragbi, squash, olahraga, hoki, sukan layar, wushu, sepak takraw, e-sukan, silat, bola tampar pantai, bola tampar dan badminton mengambil vaksinasi Fasa III.

Abdul Karim menarik perhatian bahawa Sarawak adalah yang pertama melakukan inisiatif untuk memberi suntikan vaksin kepada para atlet bagi menghadapi kejohanan itu tahun depan.

Dalam fasa I, seramai 154 para atlet dan 41 jurulatih elit menerima suntikan dos pertama mereka di Kuching sementara fasa II membabitkan 35 atlet di Sibu.

“Kementerian kita melalui Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) telah mematuhi prosedur rasmi yang diperlukan semasa proses permohonan vaksinasi kumpulan tersebut.

Bagaimanapun, katanya, atlet masih perlu mematuhi prosedur operasi standard yang ditetapkan semasa menjalani latihan persiapan mereka,” jelasnya.

Bagi vaksinansi untuk atlet bawah 18 tahun katanya, beliau akan mengadakan perbincangan dengan pihak berkaitan mengenai perkata tersebut.

“Beberapa atlet kita berusia bawah 18 tahun misalnya atlet gimnastik yang berumur antara 12 tahun hingga 13 tahun.

“Kita akan mendapatkan bimbingan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenai pemberian vaksin kepada atlet muda ini.

“Setakat ini, program vaksinasi difokuskan kepada mereka yang berusia 18 tahun ke atas, tetapi kemudian kerajaan akan meneliti mereka yang berumur bawah 18 tahun,” kata beliau.

Turut hadir Menteri Pengangkutan Sarawak, Datuk Lee Kim Shin, Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Datuk Sebastian Ting, Pemangku Setiausaha Tetap kementerian Belia dan Sukan Nancy Johli dan Ketua Pegawai Eksekutif SSC Dr Ong Kong Swee.

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )