Sarawak komited jadikan RIL setaraf standard antarabangsa

Sarawak komited jadikan RIL setaraf standard antarabangsa

KUCHING,. Jabatan Perhutanan Sarawak komited untuk memastikan garis panduan Pembalakan Berimpak Rendah (RIL) yang disemak semula untuk negeri ini setaraf dengan standard antarabangsa, kata pengarahnya Datuk Hamden Mohammad hari ini.

Beliau berkata jabatannya telah membangunkan garis panduan mengenai RIL pada 1999 berasaskan kepada pengalaman yang diperoleh daripada penyertaannya dalam dua projek kerjasama antarabangsa.

Projek itu ialah Model Pengurusan Kawasan Perhutanan (MFMA) dengan Pertubuhan Kayu-Kayan Tropika Antarabangsa (ITTO) (1993 hingga 1996) dan projek Sistem Pengurusan Maklumat Perhutanan (FOMISS) dengan Kerjasama Teknikal Malaysia-Jerman (1995 hingga 2001)

“Melalui kedua-dua projek ini, kami telah menghasilkan garis panduan komprehensif untuk RIL di Sarawak yang digunakan sekarang dan kami telah meminta semua pemegang lesen agar mematuhi peraturan tersebut yang setaraf dengan standard antabangsa,” katanya.

Bercakap pada sidang akhbar selepas sesi penerangan mengenai “Garis Panduan RIL di Sarawak’ di sini, beliau berkata jabatan itu telah bersetuju untuk mengadakan kerjasama dengan Pertubuhan Makanan dan Pertanian Bangsa-Bangsa Bersatu (FAO) pada 27 Mac untuk melaksanakan projek bertajuk ‘Penilaian Jurang Garis Panduan Pembalakan Berimpak Rendah’ sebagai sokongan kepada Pengurusan Perhutanan Mampan di Sarawak.

Beliau berkata projek itu yang disokong oleh Penguatkuasaan Undang-undang, Tadbir Urus dan Perdagangan Perhutanan Kesatuan Eropah (EU FLEGT) dan Tabung Alam Sedunia (WWF) Malaysia, akan membolehkan usaha jabatan itu dalam amalan pengurusan hutan diiktiraf dan disokong oleh masyarakat global.

RIL meliputi operasi pembalakan yang dilaksanakan dengan perancangan intensif dan terkawal yang menyokong matlamat pengurusan perhutanan mampan, bertujuan meminimumkan kerosakan hutan dan persekitarannya, selain mempromosikan kecekapan operasi dan aktiviti ekonomi berdaya maju.

Sebelum itu, wakil dari Program FAO-EU FLEGT, Pejabat Serantau Asia Pasifik, Bruno Cammeart yang mengadakan sidang maya melalui aplikasi Zoom berkata Jabatan Perhutanan FAO di Rom, Itali telah mengiktiraf peraturan RIL Sarawak sebagai mematuhi amalan terbaik antarabangsa.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This