Sarawak lancar pelan induk legacy acara perniagaan di Malaysia dan Borneo

Sarawak lancar pelan induk legacy acara perniagaan di Malaysia dan Borneo

KUALA LUMPUR,. Sarawak telah melancarkan Pelan Tindakan Induk Legacy Impact (Legacy MAP) 2023-2025 yang pertama di IMEX Frankfurt di Jerman baru-baru ini, susulan pengisytiharan baru-baru ini bahawa ia akan menjadi ibu kota legasi pertama Malaysia dan Borneo pada 12 Mei.

Legacy MAP ialah satu pelan tindakan untuk tiga tahun akan datang yang dibangunkan oleh Business Events Sarawak (BESarawak) bersama kerajaan Sarawak dan kumpulan perunding GainingEdge untuk menentukan dan memacu hala tuju mengenai penganjuran acara perniagaan di Sarawak.

“Ia bertujuan untuk memanfaatkan hubungan antara acara perniagaan dan impak legasi serta mengoptimumkannya untuk menyumbang kepada matlamat Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS) Sarawak 2030.

“Dengan industri acara perniagaan menjadi salah satu daripada enam sektor keutamaan utama di bawah pelancongan dalam PCDS Sarawak 2030, Legacy MAP direka dengan teliti untuk menyokong hasil utama menerusi strategi itu iaitu kemakmuran ekonomi, keterangkuman sosial dan kemampanan alam sekitar serta membantu acara perniagaan mencipta nilai yang lebih besar apabila mencipta program berbentuk acara,” kata BEsarawak dalam satu kenyataan.

Ia berkata dengan pelan tindakan itu, Sarawak akan memberi perhatian lebih kepada acara yang penting secara strategik kepada masyarakat.

“Untuk mencapai impak terbesar, Sarawak akan secara aktif mencari acara yang sejajar dengan PCDS 2030 dan mengutamakan perkara di bawah enam sektor ekonomi strategi itu (pembuatan, perlombongan, pertanian, perhutanan, pelancongan dan perkhidmatan) dan tujuh sektor pemboleh (digital, inovasi, pendidikan , infrastruktur, utiliti, pengangkutan dan tenaga boleh diperbaharui),” katanya.

Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datuk Snowdan Lawan berkata negeri itu mahu segera menjadi ibu kota legasi pertama untuk acara perniagaan di Malaysia dan Borneo.

“Dengan ibu kota baharu Indonesia sedang dalam pembangunan, Sarawak bersedia untuk merebut sebarang dan semua peluang.

“Legacy MAP adalah sejajar dengan dasar pembangunan kerajaan, oleh itu kami meletakkan acara perniagaan sebagai sektor barisan hadapan untuk memudahkan kerjasama strategik dan membuka pelbagai peluang ekonomi dan sosial,” katanya.

BESarawak berkata Legacy MAP mengubah naratif tradisional tentang acara perniagaan yang hanya menyumbang kepada ekonomi Sarawak melalui jumlah perwakilan dan perbelanjaan.

“Ia akan mengukuhkan naratif baharu bahawa acara perniagaan — dengan pengetahuan yang luas, hubungan dan inovasi yang mereka bawa — boleh menyumbang kepada lima tonggak legasi teras pertumbuhan sektor, pembangunan komuniti, kemampanan alam sekitar dan tadbir urus yang baik di samping kesan ekonomi,” katanya.

Tinjauan nasional yang dijalankan oleh BESarawak tahun lepas menunjukkan bahawa 93 peratus responden daripada industri acara perniagaan Malaysia melihat legasi sebagai langkah positif untuk menambah nilai yang lebih besar kepada acara perniagaan.

Ketua Pegawai Eksekutif BESarawak Amelia Roziman berkata setiap kumpulan pihak berkepentingan dalam ekosistem acara perniagaan mempunyai bidang kepentingan dan pengaruh yang unik dan Legacy MAP akan menguruskan keperluan mereka dan bagaimana mereka mampu memberi kesan kepada matlamat legasi Sarawak serta matlamat acara mereka.

“Kami telah mengembangkan model perniagaan berasaskan ekonomi kami dengan memasukkan legasi kerana ia lebih mampan seiring dengan perkembangan semasa.

“Kami berhasrat untuk mencipta nilai untuk kedua-dua belah pihak – perancang acara perniagaan dan komuniti tempatan Sarawak,” katanya. – Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This