Sarawak lantik pakar bantu padankan acara sukan atlet para

Sarawak lantik pakar bantu padankan acara sukan atlet para

KUCHING,. Sarawak akan melantik lebih ramai lagi pakar sukan paralimpik bagi mengenal pasti atlet orang kurang upaya (OKU) dan memadankan kemampuan mereka dengan jenis sukan yang sesuai.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak Sarawak, Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata peranan pakar ini penting bagi memastikan kelayakan setiap atlet dan mengelakkan mereka daripada tidak dibenarkan untuk bertanding.

“Setakat ini, lapan pegawai perubatan (yang terlibat menyediakan atlet paralimpik Sarawak) telah dihantar mengikuti kursus penentuan kelayakan atlet paralimpik di Selangor Februari lepas dan sebelum itu, 12 orang pegawai telah dihantar untuk mengikuti kursus yang sama di Putrajaya,” katanya.

Bercakap kepada media selepas meninjau sesi latihan atlet para boling di Batu Kawa di sini, beliau berkata dua daripada pegawai yang terlibat itu memiliki kelayakan bertaraf antarabangsa dan mereka ini akan membantu mempersiapkan atlet para negeri untuk kejohanan sukan akan datang.

Menurutnya, Sarawak mempunyai 164 atlet paralimpik yang akan bertanding dalam 10 acara sukan yang dipertandingkan dalam Para Sukma dan empat acara untuk Sukan Orang Pekak Malaysia (SOPMA) di Johor tahun hadapan.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This