Sarawak Pay dijenamakan semula sebagai S Pay, ke arah rangkaian global

Sarawak Pay dijenamakan semula sebagai S Pay, ke arah rangkaian global

KUCHING,. Sarawak Pay, platform pembayaran mudah alih negeri, akan dijenamakan semula sebagai S Pay, tidak lama lagi, dalam usaha ke arah rangkaian global.

Semasa mengumumkan langkah itu, Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata sebagai permulaan, mulai bulan depan pemegang akaun Sarawak Pay akan dapat menggunakan medium pembayaran di semua negara penerima UnionPay China termasuk Singapura.

Beliau berkata ia adalah hasil kerjasama antara kedua-dua entiti berkenaan.

“Kami menjenamakannya sebagai S Pay (kerana ia lebih universal berbanding Sarawak Pay) dan kemudian kami sedang bekerjasama dengan Unionpay kerana ia bersifat global.

“Kami mahu pembayaran mudah alih kami menjadi global bukan sahaja terhad kepada Sarawak saja,” katanya kepada media selepas menghadiri sesi dialog bersama pemimpin syarikat berkaitan kerajaan di sini, hari ini.

Abang Johari berkata nama baharu itu telah dibincangkan secara teliti oleh individu dalam bidang pemasaran sebelum ia dipilih.

Buat masa ini, beliau berkata terdapat lebih 100,000 pengguna berdaftar Sarawak Pay.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This