Sarawak peruntuk RM60 juta biayai kos operasi JPBN tangani COVID-19

Sarawak peruntuk RM60 juta biayai kos operasi JPBN tangani COVID-19

KUCHING, Kerajaan Negeri Sarawak memperuntukkan kira-kira RM60 juta bagi membiayai kos operasi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) bagi membendung jangkitan COVID-19.

Timbalan Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata bantuan operasi itu termasuk perolehan alat pelindung diri (PPE) tambahan, ujian PCR, makanan untuk petugas barisan hadapan, bantuan makanan untuk komuniti terjejas dan hotel percuma untuk individu di bawah pengawasan (PUS) atau pesakit di bawah siasatan (PUI) di Sarawak.
Uggah, yang juga Pengerusi JPBN, berkata peruntukan itu juga bagi membiayai pos keselamatan sempadan, peruntukan kepada Jabatan Kesihatan dan pembelian pelitup muka percuma untuk semua rakyat Sarawak.

Mengulas Program Kepolisan Komuniti yang dilancarkan Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg pada Jumaat, beliau berkata ia selaras dengan prinsip bantu diri, bantu keluarga, bantu jiran, bantu masyarakat, kita jaga kita dan kita jaga Sarawak.
Uggah berkata program itu akan memberi kuasa kepada pemimpin masyarakat menguruskan COVID-19 di daerah masing-masing selain bertindak sebagai mata dan telinga kepada agensi penguat kuasa dalam menangani masalah sosial dan jenayah.

“Strategi ini juga sesuai untuk menangani pelbagai jenis bencana lain yang tiada kaitan dengan COVID-19 termasuk penyakit seperti denggi, malaria, rabies, penyalahgunaan dadah dan hal-hal keselamatan terutama yang berkaitan dengan kawalan sempadan dan pantai, bencana alam seperti banjir, kebakaran, tanah runtuh dan lain-lain,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This