Sarawak sasar bekalan elektrik untuk 22,360 rumah luar bandar

Sarawak sasar bekalan elektrik untuk 22,360 rumah luar bandar

KAPIT (Sarawak),. Sarawak melalui syarikat tenaganya, Sarawak Energy Berhad, menyasarkan membekalkan elektrik untuk 22,360 rumah luar bandar di negeri ini dalam beberapa tahun mendatang dengan akses penuh bekalan elektrik 24 jam.

Menteri Muda Utiliti (Elektrik Luar Bandar) Datuk Liwan Lagang berkata ini boleh dilaksanakan dengan memperluas infrastruktur transmisi dan pengagihan ke lebih banyak kawasan luar bandar atau menyediakan penyelesaian sistem kendiri seperti Skim Pembekalan Elektrik Alternatif Luar Bandar Sarawak (SARES).

Bercakap pada majlis penyerahan SARES yang baru dipasang daripada Sarawak Energy, untuk 13 kampung penerima manfaat di Rumah Entili di Daerah Kecil Nanga Merit, yang terletak dua jam perjalanan bot dari bandar Kapit semalam, Liwan berkata lebih RM2.37 bilion diperuntukkan untuk projek elektrik dalam tempoh dua tahun ini ke arah mencapai matlamat itu.

“SARES memberikan penduduk luar bandar akses bekalan elektrik yang sama seperti yang dimiliki penduduk bandar. Walaupun mereka tidak perlu membayar bil elektrik, mereka mempunyai tanggungjawab untuk mengurus dan menyelenggara sistem itu sendiri.

“Sistem ini menggantikan generator diesel yang bising dan memberikan kemudahan, sekali gus meringankan kehidupan masyarakat di sini dan ramai lagi masyarakat pedalaman Sarawak yang lain,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan Sarawak Energy di sini hari ini.

Seramai 2,200 penduduk dari Rumah Seking, Rumah Entili, Rumah Anthony Jiram, Rumah Yan Ngumbang, Rumah Wilfred Guyang, Rumah Lawrence Lannie, Rumah Milang, Rumah Berundang, Pekan Nanga Merit, Rumah Ibin, Rumah Rajau, Rumah Sadang dan Rumah Julau kini mempunyai akses kepada tenaga elektrik berkuasa solar 24 jam yang boleh dipercayai dan boleh diperbaharui.

Dengan penambahan baharu itu, sejumlah 24,900 penduduk yang terdiri daripada 3,100 isi rumah dari 142 kampung terpencil di Bahagian Kapit, termasuk Kapit, Song, Belaga dan Bukit Mambong, mempunyai akses ke utiliti tersebut.

Daerah Kecil Nanga Merit, yang mempunyai 49 kampung dengan 1,009 isi rumah hampir 8,000 orang, hanya boleh diakses melalui sungai dan jalan trek kayu balak.

Rumah panjang yang terletak di sepanjang tebing sungai Merit terlalu jauh untuk disambungkan ke grid elektrik, cara terpantas untuk membekalkan elektrik untuk kediaman ini adalah melalui SARES.

Liwan mengucapkan tahniah kepada penduduk 13 rumah panjang itu dan menasihati mereka untuk menjaga SARES yang baru dipasang dan meyakinkan mereka bahawa Sarwak Energy akan terus memberikan sokongan teknikal setelah projek itu siap dan dilaksanakan.

Dengan adanya SARES setiap isi rumah dibekalkan dengan 3,000Wh tenaga elektrik yang boleh diperbaharui setiap hari bagi memenuhi keperluan asas isi rumah luar bandar yang merangkumi lampu, kipas angin, televisyen, peti sejuk kecil dan periuk nasi.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This