Sarawak teroka teknologi canggih majukan pelancongan

Sarawak teroka teknologi canggih majukan pelancongan

MIRI: Sarawak kini menerokai teknologi canggih bagi membantunya memajukan inovasi untuk mengukuhkan pembangunan mapan dalam industri pelancongan. Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg memberitahu, inovasi adalah kunci untuk mencapai kelestarian dalam pelancongan pengembaraan dan ekopelancongan di negeri ini.

“Di Sarawak, kita meneroka teknologi canggih yang membolehkan kita memantau kesan alam sekitar, meningkatkan pengalaman pengunjung dan mempromosikan pemuliharaan.

“Sistem Maklumat Geografi (GIS) sebagai contoh, membolehkan kita memetakan kawasan perlindungan kita dan menilai kesihatan ekologi manakala teknologi penginderaan jauh membantu kita mengesan perubahan dalam penggunaan tanah yang mungkin mengancam biodiversiti di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Persidangan Antarabangsa Pengembaraan dan Ekopelancongan Ke-4 dikenali Hornbill @ ICAE 2024 di sini hari ini. Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan merangkap Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.

Abang Johari berkata, kerajaan turut memanfaatkan penggunaan media sosial bagi merapatkan teori dan praktik dalam mempromosikan ekopelancongan.

“Dengan menjalankan penyelidikan tentang bagaimana platform digital mempengaruhi tingkah laku pengunjung, kita juga membangunkan strategi pemasaran yang disasarkan untuk menarik pelancong bertanggungjawab dan meningkatkan kesedaran tentang usaha pemuliharaan di Sarawak.

“Media sosial membolehkan kita berkongsi amalan terbaik, menonjolkan kisah kejayaan tempatan dan menggalakkan pengunjung berinteraksi dengan warisan semula jadi kita dengan cara yang terhormat dan mapan,” jelasnya.

Katanya, Kerajaan Sarawak amat komited membangunkan sektor pelancongan mengutamakan kelestarian di setiap peringkat dengan merangka dasar, merancang program dan melaksanakan strategi membolehkan pelancongan berkembang tanpa membahayakan warisan ekologi atau budaya negeri ini.

“Salah satu contoh cemerlang ialah Projek Tukun Tiruan Sarawak. Inisiatif ini melibatkan penempatan bebola tukun tiruan bagi memulihkan ekosistem marin, menggabungkan pengetahuan teori tentang ekologi karang dengan teknik pemuliharaan praktikal.

“Hasilnya adalah sebuah projek meningkatkan biodiversiti marin dan menyokong pelancongan menyelam yang mapan, menunjukkan bagaimana teori dan amalan boleh bekerjasama untuk mencapai manfaat nyata,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau menekankan komitmen Sarawak terhadap pendidikan dan pembangunan kapasiti kerana menyedari kepentingannya memastikan kelestarian jangka panjang untuk inisiatif pengembaraan dan ekopelancongan negeri ini.

“Kerjasama Kerajaan Sarawak dengan Universiti Putra Malaysia (UPM) adalah contoh yang cemerlang tentang bagaimana institusi akademik boleh menyediakan asas teori diperlukan untuk memaklumkan aplikasi praktikal.

“Melalui kerjasama ini, kita menjalankan penyelidikan mendalami pemahaman kita tentang ekosistem Sarawak, membolehkan kita merancang pengalaman pelancongan bersifat pendidikan dan lestari,” jelasnya.

Tambahan pula, Sarawak komited memupuk kerjasama dengan komuniti setempat dan penyertaan mereka adalah penting untuk kejayaan mana-mana inisiatif ekopelancongan.

“Komuniti tinggal berhampiran kawasan terlindung sepenuhnya seperti Taman Negara Niah dan Gunung Mulu adalah pemegang kepentingan utama kami dengan mengintegrasikan perspektif mereka dan memanfaatkan pengetahuan tradisional, kita mencipta model pelancongan mapan dan inklusif,” katanya.

Hadir sama Pengarah Emeritus Muzium Maharaja Sawai Man Singh II, Jaipur Dr Rima Hooja serta Pengurus Besar SFC Abang Arabi Abang Aimran dan tetamu lain.

-Agensi

CATEGORIES
Share This