Sarawak teruskan modal teroka untuk belia tahun hadapan – Abdul Karim

Sarawak teruskan modal teroka untuk belia tahun hadapan – Abdul Karim

KUCHING,. Kerajaan Sarawak akan meneruskan penyediaan modal teroka kepada golongan belia tahun hadapan dengan peruntukan baharu RM4 juta antara lain bagi membantu belia menyertai kursus untuk meningkatkan kemahiran.

Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan negeri Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata satu jawatankuasa di kementerian akan meneliti setiap permohonan daripada belia tempatan, sebelum diluluskan peruntukan yang berjumlah di antara RM5,000 hingga RM20,000 bagi setiap permohonan.

“Dana ini bukan pinjaman perniagaan atau biasiswa tetapi bagi membantu belia tempatan berbakat atau berkemahiran, menyertai kursus mengasah bakat atau meningkatkan lagi kemahiran mereka,” katanya dalam ucapannya sebelum merasmikan acara TEDx Kenyalang 2019, di sini, hari ini.

Abdul Karim berkata dana berkenaan dimulakan awal tahun ini dengan peruntukan sebanyak RM5 juta.

Katanya dana terbabit terbuka kepada belia tempatan yang memiliki apa sahaja bakat atau kemahiran yang boleh dibawa ke peringkat lebih tinggi sama ada bakat bermain alat muzik, kemahiran mencipta barangan atau bakat-bakat lain.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This