
Sarawak United kembali temui rentak kemenangan
KUCHING,. Sarawak United kembali menemui rentak kemenangan apabila menewaskan Kelantan United 2-1 pada perlawanan Liga Premier di Stadium Negeri, Petra Jaya, malam ini.
Barisan anak buah E. Elavarasan tidak menunggu lama untuk membuka tirai jaringan pada minit ketujuh, menerusi rembatan dari luar kotak penalti oleh bekas penyerang kebangsaan Mohd Amri Yahyah, yang gagal diselamatkan penjaga gol Kelantan United, Muhamad Syazwan Yusoff.
Selang 11 minit kemudian, penyerang import dari Liberia Patrick Ronaldinho Wleh menggandakan jaringan buat skuad Ngap Sayot, apabila bijak menanduk masuk bola tepat ke penjuru sebelah kanan gawang untuk meletakkan Sarawak United, mendahului 2-0 pada separuh masa pertama.
Pada minit ke-78, pengadil Ahmad Zuhaidi Dzulkifli menghadiahkan sepakan penalti kepada Kelantan United, setelah penyerang dari Gambia Alfusainey Gassama dijatuhkan pemain tengah Sarawak United S.Chanturu di dalam kotak penalti dalam satu serangan balas.
Gassama tenang menyempurnakan sepakan penalti itu dan menewaskan penjaga gol Sarawak United Shaiful Wazizi Mohammad, untuk merapatkan kedudukan 2-1.
Permainan semakin sengit dihujung perlawanan, dengan skuad Sang Kijang Hijau cuba untuk menyamakan kedudukan namun tiada tambahan jaringan dihasilkan, untuk kedudukan akhir memihak pasukan tuan rumah.
Kemenangan Sarawak United malam ini berjaya melonjakkan mereka ke tempat sembilan liga dari tempat kesebelas, dengan mengumpul lapan mata dari lapan perlawanan manakala Kelantan United kekal ditangga keenam dengan sembilan mata.
— BERNAMA