
Sarawak usul 4 projek mega bekalan air di bawah RMK12 – Stephen Rundi
KUCHING, 8 Dis — Sarawak telah mengusulkan empat projek mega pembekalan air bernilai kira-kira RM18 bilion untuk dilaksanakan di negeri itu di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12), kata Menteri Utiliti negeri Datuk Dr Stephen Rundi Utom.
Beliau berkata projek terbabit termasuk Pelan Induk Bekalan Air Sarawak dan Program Grid Bekalan Air Sarawak iaitu projek sambungan paip kepada komunit serta pelaksanaan Bekalan Air Luar Bandar Alternatif Sarawak (Sawas) di kawasan terpencil di pedalaman.
“Selain itu, kementerian saya juga telah melaksanakan program pengurusan air tanpa hasil (NRW) yang menyeluruh bagi mengurangkan kadar NRW kepada 25 peratus di Sarawak,” katanya semasa berucap pada majlis pemeteraian memorandum persefahaman antara kementeriannya, Akademi Binaan Malaysia dan Pusat Pembangunan Kemahiran Sarawak, di sini hari ini.
Beliau berkata Sarawak berhasrat memiliki utiliti bertaraf dunia yang boleh harap, jimat, selamat dan lestari di seluruh negeri bagi meningkatkan kesejahteraan rakyatnya.
“Di bawah RMK11, kerajaan negeri telah meluluskan RM6.1 bilion bagi menjalankan 704 projek berkaitan air dengan 55 peratus daripada projek sudah siap sementara baki masih dalam pelbagai peringkat pelaksanaan,” katanya.
Pada masa ini, liputan bekalan air bersih di Sarawak ialah 84.1 peratus dan kerajaan negeri menyasarkan liputan 100 peratus menjelang 2025.
Mengenai pemeteraian memorandum persefahaman dengan dua institusi pendidikan itu, beliau berkata perkara tersebut merupakan satu pencapaian bagi kementerian dalam usahanya meningkatkan bilangan tenaga kerja berkelayakan dalam pemasangan paip air.
“Kita jangkakan kita perlu ramai pemasang paip pada masa akan datang susulan pelaksanaan pelbagai jenis projek bekalan air serta projek pembinaan bangunan di bawah RMK12,” katanya
— BERNAMA