Satu lagi kes positif koronavirus di Singapura

SINGAPURA,. Singapura mencatatkan satu lagi kes positif koronavirus pada Isnin.

Menurut Kementerian Kesihatan Singapura (MOH), mangsa merupakan wanita warga Wuhan, China berusia 56 tahun yang tiba di negara itu pada 18 Januari lalu untuk menziarahi keluarganya.

Mangsa ketika ini, jelas MOH, dimasukkan ke wad isolasi Pusat Rawatan Penyakit Berjangkit Kebangsaan (NCID) dan keadaan mangsa dilaporkan stabil.

Wanita berkenaan dikatakan mengalami ‘asymptomatic’ (tidak menunjukkan sebarang simptom) ketika menaiki pesawat ke Singapura, bagaimanapun dia dikatakan mengalami simptom jangkitan koronavirus sebelum mendapatkan rawatan di Hospital Tan Tock Seng pada 26 Januari lalu.

Hasil ujian ke atas spesimen mangsa sehari selepas dirawat mendapati dia positif koronavirus.

Siasatan awal mendapati mangsa tidak mempunyai sebarang kontak dengan empat pesakit yang disahkan positif virus itu sebelum ini.

Sehingga kini, di Singapura, sebanyak 62 suspek koronavirus yang dikuarantin disahkan negatif, manakala 57 kes lagi masih menunggu keputusan ujian makmal.

Kementerian Kesihatan Singapura juga memaklumkan telah mengenal pasti 115 kontak rapat dengan empat kes positif sebelum ini, 75 daripadanya telah dikuarantin manakala 11 lagi sedang dikesan ketika ini.

Sehingga kini, 16 negara termasuk negara republik itu telah mengesahkan kes positif di negara masing-masing.

Wabak koronavirus telah membunuh 81 mangsa, manakala 2,761 mangsa disahkan positif koronavirus di China.

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )