Satu mayat ditemui dalam kapal karam

Satu mayat ditemui dalam kapal karam

KUCHING: Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) hari ini menemui satu mayat di dalam kapal kargo MV Tung Sung yang karam di Sebuyau. Ketua Polis Daerah Simunjan DSP Wong Tee Kue mengesahkan mayat kelima itu ditemui jam 2.15 petang di dalam kabin di tingkat tiga kapal berkenaan.

“Untuk makluman hasil pencarian hari ini kita telah jumpa satu lagi mangsa kapal karam.

“Mayat telah dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk bedah siasat serta pengecaman identiti,” katanya ketika ditemui pemberita di Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC) Jeti Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS) Sebuyau di sini hari ini.

Jelasnya, berikutan penemuan mayat kelima itu, tiga lagi mangsa belum dijumpai.

“Tiga lagi mangsa lain masih belum dapat dikesan berikutan kapal tidak dapat diakses kerana masih ada air sedalam enam kaki. “Operasi akan dilakukan selepas proses mengepam air keluar pada petang ini (Isnin) sebelum melakukan pencarian di bahagian enjin dan kabin kapal,” jelasnya.

Katanya, operasi hari ini melibatkan seramai 82 anggota yang membabitkan Unit Khas Bahan Kimia Berbahaya (HAZMAT) dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak. Setakat ini mayat lima daripada lapan kru kapal kargo MV Tung Sung yang karam pada 19 Julai lalu telah ditemui di sekitar perairan Pulau Burung dan di dalam kapal berkenaan.

Operasi SAR memasuki hari ke-12 berjalan lancar selepas usaha menterbalikkan kapal tersebut berjaya dilakukan dengan bantuan kapal kren.

-Agensi

CATEGORIES
Share This