Satu platform baharu bakal diwujudkan untuk gabung para pemain industri kayu-kayan Sabah
KOTA KINABALU,. Satu platform baharu untuk mengabungkan para pemain industri dan persatuan industri kayu-kayan dengan agensi Kerajaan Negeri Sabah bakal diwujudkan untuk membangunkan lagi industri berkenaan di Sabah.
Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata cadangan untuk mewujudkan platform itu diutarakan oleh para pemain industri kayu-kayan di Sabah.
“Saya tiada masalah dengan cadangan itu kerana ia mampu membangunkan lagi industri kayu-kayan di Sabah. Namun sebelum mewujudkan platform baharu itu…saya perlu membawa perkara ini untuk dibincangkan di peringkat kabinet negeri.
“Sebagai Ketua Menteri kita perlu berkongsi dengan anggota kabinet untuk memutuskan sesuatu,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan perjumpaan dengan pemain dan persatuan industri kayu-kayan Sabah di sini Isnin.
Mohd Shafie berkata langkah untuk mewujudkan platform itu bertujuan memastikan industri berkenaan dapat dibangunkan untuk jangka masa yang panjang.
“Platform ini bukan sahaja dapat memastikan bekalan kayu-kayan mencukupi malah dapat memastikan produk kayu-kayan yang dihasilkan di Sabah berkualiti.
“Untuk membangunkan industri ini, pada pemain industri memerlukan kerjasama daripada pihak kerajaan.. dan kerajaan juga memerlukan kerjasama daripada pemain industri yang berpengalaman untuk memastikan produk dapat dipasarkan sehingga ke luar negara,” katanya.
Pada masa yang sama, Mohd Shafie berkata kerajaan Sabah kini berusaha menarik lebih banyak pelabur untuk sama-sama membangunkan industri kayu-kayan di Sabah.
— BERNAMA