Satu tanggungjawab besar pimpin Kementerian Pertanian dan Industri Makanan – Ronald Kiandee

Satu tanggungjawab besar pimpin Kementerian Pertanian dan Industri Makanan – Ronald Kiandee

KOTA KINABALU,. Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee menyifatkan pelantikannya sebagai Menteri Pertanian dan Industri Makanan merupakan satu tanggungjawab yang perlu digalas demi kepentingan negara.

Justeru, Ronald, yang juga Setiausaha Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah berazam untuk melaksanakan tanggungjawab itu seiring dengan hasrat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, kerajaan dan rakyat.

“Sektor pertanian kekal sebagai sektor penting negara termasuk Sabah dan sebab itu kementerian ini (Pertanian dan Industri Makanan) besar tanggungjawab kepada pembangunan negara dan penting kepada rakyat,” katanya kepada Bernama, hari ini.

Menjadi ahli Parlimen Beluran sejak 1999, ini adalah pertama kali Ronald dilantik sebagai anggota Kabinet persekutuan yang diumumkan oleh Muhyiddin hari ini.

Beliau merupakan antara ahli Parlimen berpengalaman di negara ini dan pernah dilantik sebagai Timbalan Speaker Dewan Rakyat dari 2008 hingga 2018.

Ronald, 59, memulakan kerjaya politiknya pada 1991 sebagai Setiausaha Agung Angkatan Keadilan Rakyat (AKAR) dan kemudian menyertai UMNO pada 1999.

Beliau dilahirkan pada 10 Jan 1961 di Beluran dan memulakan persekolahan di Sekolah Rendah Kebangsaan Beluran dan di Sekolah Menengah Kebangsaan Beluran dan Maktab Sabah Kota Kinabalu.

Di peringkat pendidikan tinggi Ronald melanjutkan pengajian peringkat Sarjana Muda di Universiti Putra Malaysia pada 1994 dan memperolehi Ijazah Sarjana di Universiti Tun Abdul Razak (2003) sebelum memperolehi Doktor Falsafah (PhD) di Universiti Sains Malaysia (2014).

Beliau pernah bergelar pegawai di jabatan kerajaan negeri sebagai Pegawai Perikanan di Jabatan Perikanan Sabah dari 1984 hingga 1990 sebelum menyertai politik pada 1991.

Di peringkat antarabangsa, Ronald pernah dilantik sebagai Naib Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Parlimen Komanwel pada 2013 hingga 2015.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This