Saya yakin jadi juara dunia F1 buat kali keenam -Hamilton

Saya yakin jadi juara dunia F1 buat kali keenam -Hamilton

KUALA LUMPUR,. Pemandu Pasukan Mercedes AMG Petronas Motorsports, Lewis Hamilton yakin untuk memenangi gelaran juara Formula Satu (F1) buat kali keenam, musim ini.

Pendahulu perlumbaan musim 2019 ini berkata beliau dan pasukannya tidak dibenarkan untuk mempunyai sebarang keraguan mengenainya.

“Memang jelas, kami bekerja ke arahnya (kejuaraan buat kali keenam). Saya sentiasa memandu untuk menang. Jadi tidak ada sedetik masapun yang saya berasa ragu mengenainya.. Jadi akan terus ke hadapan dan terus mengelakkan sebarang masalah.

“Sasaran saya ialah untuk cuba dan memberikan keputusan yang terbaik. Ia memerlukan sokongan pasukan dan kami menggunakan strategi terbaik untuk terus di hadapan, tetapi saya amat gembira sekali yang kami melalui musim yang amat baik tahun ini,” katanya di majlis pengenalan siri baharu Petronas Syntium dengan Cooltech di Malaysia, hari ini.

Hamilton sebelum ini telah memenangi lima Kejuaraan Dunia F1 pada 2008, 2014, 2015, 2017 dan 2018, menjadikan beliau berada dalam senarai pemandu paling cemerlang sepanjang masa, menyamai lagenda Argentina, Juan Manuel Fangio.

Pada perlumbaan Ahad lepas, Hamilton menamatkan perlumbaan Grand Prix Singapura di tempat keempat, manakala Ferari buat kali pertamanya menamatkan perlumbaan di tempat pertama dan kedua perlumbaan, masing-masing menerusi Sebastian Vettel dan Charles Leclerc.

Bagaimanapun, Hamilton terus mengekalkan kedudukan teratas dengan 296 mata, diikuti rakan sepasukan Valtteri Bottas dengan 231 mata.

Mercedes juga masih selesa mendahului dengan kelebihan 133 mata (527 mata), diikuti Ferari (394 mata) dalam kategori pasukan pengendali.

“Saya masih mempunyai enam perlumbaan lagi. Saya tidak tahu apa yang mereka (Ferari) telah lakukan dalam tempoh beberapa bulan ini, tetapi saya percaya mereka telah bekerja keras untuk menghadapi baki perlumbaan,” katanya.

Mengulas mengenai Litar Antarabangsa Sepang, Hamilton mengakui, beliau rindu untuk berlumba di litar yang beliau anggap sebagai antara perlumbaan paling sukar.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This