Scomi Group buat pelan pemulihan perniagaan monorel

KUALA LUMPUR,. Scomi Group Bhd telah memeterai Kertas Terma Ikatan (BTS) dengan penerima dan pengurus (R&M) Scomi Rail Bhd (SRB) untuk menangani isu harta intelek (IP) bagi kumpulan itu dan merangka Pelan Pemulihan Perniagaan Monorel SCOMI yang komposit dengan R&M.

Kumpulan berkenaan dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia pada Isnin berkata pelan pemulihan itu melibatkan cadangan penyusunan semula perniagaan dalam segmen monorel termasuk cadangan pemindahan IP perniagaan monorel kumpulan daripada R&M kepada SRB pada nilai RM36 juta

Kumpulan tersebut ketika mengulas mengenai cadangan penyusunan semula perniagaan dalamannya, berkata ia akan dilaksanakan melalui penubuhan tiga Syarikat Tujuan Khas iaitu SPV1, yang akan dibiayai oleh Scomi Group sebagai subsidiari perantaraan kumpulan untuk menjadi syarikat pegangan bagi Scomi Transit Projects Sdn Bhd (STPKL), SPV2 dan SPV3.

“SPV1, melalui STPKL, juga akan memperolehi semua aset dan inventori yang berkaitan dengan perniagaan monorel daripada See Song Sons Sdn Bhd (SSSSB) pada harga yang akan dipersetujui secara bersama,” katanya lagi.

Bercakap mengenai SPV2, syarikat itu akan dibiayai oleh kumpulan serta dimiliki sepenuhnya oleh SPV1, untuk memiliki sistem maklumat perakaunan dan pengurusan termasuk kesemua teknologi dan harta intelek, yang berkaitan dengan perniagaan monorel.

“Manakala SPV3 akan dibiayai oleh kumpulan dan dimiliki sepenuhnya oleh SPV1 bagi memiliki dan menguruskan hutang yang boleh dituntut termasuk semua hak yang timbul daripada hutang berkenaan yang terkait dengan tuntutan kumpulan dalam tuntutan litigasi monorel, ‘ katanya.

Scomi Group menjelaskan langkah korporat ini dirumuskan untuk pemulihan dan pemuliharaan perniagaan monorel kumpulan.

“Antara lain, cadangan pengambilalihan STPKL oleh Scomi Group daripada Scomi Engineering Bhd (SEB), syarikat itu diasingkan daripada kumpulan sejak 24 Jan 2019, ini akan membolehkan kumpulan untuk mengekalkan, membina dan meningkatkan perniagaan bagi projek Monorel Kuala Lumpur, selaras dengan Perjanjian Penyelesaian serta Perjanjian Penyempurnaan yang dimeterai di antara STPKL dengan Prasarana Malaysia Bhd, masing-masing pada 4 April dan 21 Jun 2019,” katanya.

“IP tersebut amat penting kepada kumpulan dalam mendapatkan projek monorel tempatan dan antarabangsa pada masa hadapan,” katanya sambil menambah bahawa pengambilalihan aset dan inventori serta alat ganti daripada SSSSB akan meningkatkan lagi dan memantapkan komposisi perniagaan monorel kumpulan, ini seterusnya akan meningkatkan peluang kejayaan bagi pembidaan kontrak,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )