Sebanyak 94 kilogram sampah dikutip di Pulau Manukan

KOTA KINABALU,. Sebanyak 94 kilogram sampah berjaya dikutip di pesisir pantai Pulau Manukan sempena Program Pembersihan Pantai bersempena Hari Pembersihan Pesisir Pantai Antarabangsa 2019 pada Sabtu.

Pengurus Taman-Taman Tunku Abdul Rahman Anthony Tinggi berkata daripada jumlah itu, empat kilogram sampah di kutip di darat sekitar pulau itu.

“Dalam tempoh sejam, sampah botol plastik berjaya dikutip seberat 53 kilogram diikuti plastik (13kg); kain (11kg); tin (tujuh kg); kaca (enam kg) dan pelbagai jenis sampah (empat kg).

“Hari ini penyelam yang melakukan selaman adalah kelab selam skuba “Sparks Divers Club’ iaitu staff daripada Taman-Taman Sabah (TTS) seramai 22 orang,” katanya kepada pemberita selepas program berkenaan yang turut melibatkan lapan pelajar sukarelawan Universiti Malaysia Sabah (UMS).
Anthony berkata pihaknya amat mengalu-alukan penyelam lain agar dapat bersama-sama menyertai program seumpama itu di masa akan datang.

Program itu diadakan sempena sambutan Hari Pembersihan Pesisir Pantai Antarabangsa pada setiap 21 September melibatkan sukarelawan mengutip dan mendokumentasikan sampah yang dibuang di persisiran pantai.

Sementara itu, Ketua Penyelam Muhamad Enuz Syafiq Sekui Abdullah, 40, berkata mereka menyelam pada kedalaman 10 meter untuk mengutip sampah terutamanya yang tersekat pada terumbu karang.

Beliau yang berpengalaman hampir 15 tahun menyelam berkata jika sampah itu tidak dikutip dikhuatiri akan menjejaskan tumbesaran terumbu karang di kawasan berkenaan.

“Ada sampah yang jelas kelihatan tetapi ada tertimbus dengan pasir dan menutupi terumbu karang,” katanya sambil menjelaskan setiap sampah itu akan direkodkan data menggunakan aplikasi yang dikenali sebagai “clean swell”.

Seorang sukarelawan pelajar UMS Nur Efah Arsin, 23, yang pertama kali menyertai program itu berkata kesedaran dalam komuniti perlu ditingkatkan lagi khususnya mengenai kesan plastik kepada hidupan marin.

Pelajar Ijazah Sarjana Sains Aquakultur itu berkata penggunaan plastik perlu dikurangkan bagi mengurangkan kejadian pembuangan plastik ke dalam laut.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This