Sebanyak RM332 juta untuk sediakan program latihan, fasiliti sukan di seluruh negara

Sebanyak RM332 juta untuk sediakan program latihan, fasiliti sukan di seluruh negara

KUALA LUMPUR,. Kerajaan memperuntukkan RM332 juta bagi menyediakan program latihan dan fasiliti sukan terbaik di seluruh negara tahun depan, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Ketika membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan 2023 di Dewan Rakyat semalam beliau berkata sebanyak RM145 juta daripada jumlah peruntukan yang disediakan itu adalah untuk menyelenggara, menaik taraf dan membina kemudahan sukan di seluruh negara.

Menurutnya, sebanyak RM154 juta lagi disediakan bagi menjayakan pembangunan ekosistem sukan yang menyeluruh melalui pencarian bakat baharu, program latihan dan kelengkapan fasiliti sukan, hinggalah membawa negara ke podium sukan antarabangsa.

“Tahun ini telah memahat sejarah sukan yang amat membanggakan. Jalur Gemilang berkibar megah di seluruh dunia. Kejayaan paling besar pastinya pengakhiran 45 tahun untuk bergelar juara di Kejohanan Badminton Dunia melalui pasangan beregu lelaki nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik.

“Tahniah kami ucapkan dan terima kasih kepada semua wira negara yang telah mengharumkan nama Malaysia,” katanya.

Tengku Zafrul berkata sebanyak RM20 juta diperuntukkan bagi membuka peluang belia terlibat dalam sukan permotoran di platform yang betul melalui pembangunan litar drag manakala RM13 juta di peruntukkan untuk pembangunan e-sukan.

“Potongan cukai bagi mereka yang menyumbang kepada badan bukan kerajaan (NGO) yang terlibat dalam pembangunan sukan di peringkat akar umbi,” katanya.

Bagi melahirkan atlet para bertaraf antarabangsa, beliau berkata peruntukan RM12 juta disediakan khusus untuk pembangunan sukan Orang Kurang Upaya (OKU).

“Kerajaan akan menyediakan peruntukan RM5 juta kepada Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) untuk 2023 dan selanjutnya,” katanya.

Tengku Zafrul berkata kerajaan akan terus memupuk gaya hidup sihat bagi mengurangkan risiko penyakit tidak berjangkit melalui Agenda Nasional Malaysia Sihat dengan peruntukan RM15 juta.

“Esok ialah Hari Sukan Negara. Jadi Kerajaan menyerulah seluruh Keluarga Malaysia untuk luangkan sedikit masa beriadah demi memupuk gaya hidup lebih sihat,” katanya menambah bahawa kerajaan menyediakan RM10 juta untuk meneruskan Hari Sukan Negara dan Jelajah Fit Malaysia pada tahun depan.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This