
Sebuah bot nelayan ingkar syarat lesen ditahan
LAHAD DATU,. Pasukan Polis Marin Lahad Datu menahan sebuah bot nelayan tempatan yang ingkar syarat lesen perikanan di kawasan laut Bagahak, Tungku, di sini.
Pegawai Pemerintah Markas Operasi Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Lahad Datu, Supt Gan Ping Sin berkata, dalam Op Benteng Covid yang dijalankan telah mengesan sebuah bot nelayan sedang leka menangkap ikan menggunakan pukat tunda pada jarak kurang tiga batu nautika dari persisiran pantai.
Menurutnya, juragan bot telah ditahan dan rampasan dibuat melibatkan pelbagai jenis ikan dengan anggaran berat 300kg bernilai RM600.
Katanya, tangkapan dan rampasan telah diserahkan kepada Jabatan Perikanan untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat-syarat lesen.
“Aktiviti menangkap ikan oleh bot-bot nelayan jenis pukat tunda secara berdekatan dengan persisiran pantai adalah sangat berbahaya kepada nelayan-nelayan kecil dan mengancam ekosistem ikan dan terumbu karang.
“Kita telah berulangkali menasihati komuniti perairan laut tentang peraturan-peraturan perikanan yang perlu dipatuhi ketika melakukan aktiviti perikanan namun masih ada yang ingkar,” katanya.