SEDC, Petronas dan pelabur meterai perjanjian induk

SEDC, Petronas dan pelabur meterai perjanjian induk

KUALA LUMPUR,. Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) telah menandatangani satu perjanjian induk (HOA) dengan Petronas, Sarawak Shell Bhd dan PTTEP HK Offshore Ltd membabitkan pajakan tanah untuk tempoh panjang di kawasan Taman Perindustrian Petchem di Tanjung Kidurong, Bintulu, semalam.

Dalam kenyataan hari ini, Petronas berkata tanah tersebut adalah bagi pembangunan kompleks yang merupakan sebahagian daripada projek Sistem Pemindahan Gas Masam Bersepadu Sarawak (SISGES).

“Projek tersebut dijangka menjadi pemangkin bagi lebih banyak pembangunan sumber gas masam yang belum diterokai di luar pesisir Sarawak dan pelan pembangunan itu masih di peringkat akhir semakan,” katanya.

Petronas juga menyifatkan kerjasama dengan agensi-agensi di bawah kerajaan negeri Sarawak seperti SEDC sebagai satu detik bermakna bagi mewujudkan persekitaran perniagaan dan pelaburan yang stabil serta kondusif untuk pertumbuhan industri minyak dan gas serba mampan di negeri itu.

SEDC mewujudkan Taman Perindustrian Petchem pada 2020 bagi menggalakkan penyertaan aktif pelabur domestik dan antarabangsa dalam memperhebatkan aktiviti hiliran minyak dan gas Sarawak yang juga seiring dengan aspirasi kerajaan negeri bagi menjadikan Sarawak sebuah negeri maju menjelang 2030.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This