Segera wartakan SMK Convent Bukit Nanas sebagai tapak warisan negara

Segera wartakan SMK Convent Bukit Nanas sebagai tapak warisan negara

KUALA LUMPUR,. Sekolah Menengah Kebangsaan Convent Bukit Nanas (SMK CBN) yang telah memperoleh lanjutan tempoh pegangan pajakan tanah untuk 60 tahun lagi sewajarnya segera diangkat sebagai tapak warisan negara.

Menyuarakan pandangan itu, Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) Profesor Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hasan berkata adalah penting sekolah bersejarah itu diwartakan bagi memulihara, memelihara dan melindungi warisan khazanah yang amat bernilai.

“Perjuangan kerajaan wajar dipuji kerana mengambil inisiatif mengemukakan sekolah berkenaan sebagai Tapak Warisan Negara… usaha itu sepatutnya mendapat sambutan serta sokongan padu dari semua pihak.

“Apa-apa pun sekiranya terdapat bantahan daripada pihak tertentu, rundingan dan persefahaman bersama akan dapat diatasi dan dimanfatkan untuk keharmonian bersama,” katanya kepada Bernama ketika dihubungi.

Semalam, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri berkata Jabatan Warisan Negara telah berusaha untuk mewartakan sekolah tersebut sebagai tapak warisan sejak 2008 tetapi tidak dapat diteruskan berikutan mendapat bantahan oleh pemegang amanah sekolah berkenaan.

Mohamad Ali berkata sekiranya sekolah itu diwartakan di bawah Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645), ia boleh dijadikan sekolah contoh untuk mengenal pasti bangunan institusi yang lain sebagai warisan negara yang seterusnya.

Beliau berkata sebagai contoh Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) di Perak, Maktab Perguruan Perempuan Melaka, Penang Free School, Maktab Sultan Abu Bakar (Johor Bahru), SMK King George V (Seremban) dan yang lain-lain jika belum diiktiraf sebagai tapak warisan.

“Pewartaan SMK CBN adalah penting sebagai kepentingan sejarah dan iktibar pendidikan negara tersohor serta memandangkan belum ada premis warisan pendidikan yang wujud di tengah-tengah bandar raya negara sebagai tapak warisan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata SMK CBN yang unik, bersejarah dan telah melahirkan ramai pemimpin, pentadbir serta pejuang tersohor itu sewajarnya diberi pelanjutan pajakan tanah sehingga 99 tahun.

Katanya, ini kerana sekolah itu sendiri telah wujud dan berdiri di tengah-tengah bandar raya lebih seabad, serta melalui sejarah yang menarik, mencabar dan banyak iktibar dapat dipelajari, selain sebagai pusat pendidikan terkemuka di Malaysia dan dunia.

“Bagaimanapun, tahniah dan syabas kepada kerajaan kerana membuat keputusan melanjutkan tempoh pajakan tersebut… walaupun diharapkan tempoh tersebut sepatutnya lebih lama lagi, namun buat masa ini semua pihak rasanya berasa lega dan boleh bernafas untuk perancangan lebih jitu lagi,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Pusat Kajian Dasar Awam (CPPS) Institut Strategi dan Kepimpinan Asia (ASLI) Tan Sri Ramon Navaratnam memuji langkah kerajaan memanjangkan tempoh pajakan tanah serta menolak pandangan sempt dan parokial segelintir pihak.

Navaratnam berkata CBN telah memainkan peranan penting dalam memberikan pendidikan secara menyeluruh khususnya dalam Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains kepada rakyat Malaysia.

Sekolah mubaligh seperti CBN juga terkenal dengan pembentukan sahsiah dan memupuk nilai-nilai murni dalam kalangan pelajar mereka, katanya.

Beliau yang juga bekas pelajar Victoria Institution Old Boy berkata terdapat nilai keterikatan mendalam antara sekolahnya dan CBN yang dianggap sebagai sekolah ‘kakak’ kerana kedua-dua sekolah berkenaan sudah berada sekian lama dalam sejarah pendidikan Malaysia.

“Sekolah ini terkenal dengan keupayaan menghasilkan banyak individu cemerlang dan juga mewakili legasi, sejarah dan warisan yang perlu kita hargai,” katanya.

Presiden Badan Warisan Malaysia (BWM) Lim Wei Ling yang gembira dengan berita perlanjutan tempoh pajakan itu bagaimanapun berkata pihaknya prihatin mengenai usaha memelihara sekolah itu sebagai bangunan warisan.

“Kami gembira kerana kerajaan bertindak pantas tapi jika kita melihat kepada suara daripada orang ramai, kebanyakan mereka prihatin mengenai usaha untuk memelihara bangunan sebagai warisan untuk generasi akan datang,” katanya.

Lim berkata adalah penting untuk Malaysia memelihara bangunan warisannya ketika negara kini mengalami perkembangan pesat dan lebih banyak usaha harus dilakukan untuk memelihara apa-apa yang ditinggalkan daripada seni bina bersejarah negara.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )