Sekat penularan COVID-19: 4 SJR diaktifkan, 3 jalan ditutup di Lahad Datu

Sekat penularan COVID-19: 4 SJR diaktifkan, 3 jalan ditutup di Lahad Datu

LAHAD DATU: Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Daerah Lahad Datu menguatkuasakan tindakan sekatan jalanraya (SJR) dan penutupan jalanraya bagi memutuskan rantaian COVID-19 berkuatkuasa tengah malam ini.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata empat sekatan jalanraya itu didirikan berhampiran simpang Tamoi Baru Jalan Lahad Datu – Sandakan, Kilometer 7 Jalan Lahad Datu – Tawau, hadapan Layong Industri Jalan Lahad Datu – Tungku dan berhampiran lampu isyarat Kampung Puyut Jalan Pantai Lahad Datu.

Katanya, tiga jalan yang ditutup pula ialah Jalan Bypass Tengah Nipah berhampiran Lapangan Terbang Lahad Datu (Jalan masuk ke bandar Lahad Datu), Jalan Tengah Nipah (Jalan masuk ke bandar Lahad Datu) berhampiran terminal lori Majlis Daerah dan Jalan masuk atau keluar ke bandar Lahad Datu di bulatan mahkamah.

“Tindakan ini berkuatkuasa 8 pagi hari Jumaat dan penutupan jalan mulai 12 malam ini,” katanya.

Menurut Nasri, orang ramai dinasihatkan membuat perancang untuk keluar dari rumah bertujuan membeli barangan keperluan dan mengeluarkan duit di bank dengan mendapatkannya di bandar yang berhampiran sahaja.

Katanya, bagi penduduk di kawasan Silam boleh ke Bandar Perdana, Jalan Tungku ke kawasan Layong Industri, Jalan Dam di bandar i-Peak dan Jalan Segama ke Bandar Fajar dan Tabanak sahaja.

“Sekiranya didapati ada yang menuju ke bandar Lahad Datu tanpa urusan yang munasabah dan tempat berurusan ada berhampiran dengan tempat tinggal, petugas akan mengarahkan anda untuk berpatah balik.

“Langkah ini untuk mengelakkan orang ramai tertumpu di satu kawasan yang boleh merisikokan jangkitan,” katanya.

Tambahnya, aktiviti riadah di taman-taman awam juga tidak dibenarkan buat sementara waktu.

Nasri menasihatkan orang-ramai untuk terus mematuhi saranan dan nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia dengan mengelakkan 3S (Elakkan kawasan sesak, sempit dan sembang jarak dekat), amalkan 3W (wash, wear dn warn) serta patuhi Prosedur Operasi Standard.

CATEGORIES
Share This