
Sekolah antarabangsa strategi kerajaan Sarawak lahirkan modal insan cemerlang
KUCHING, 22 Sept — Sarawak fokus untuk melahirkan modal insan cemerlang terutama bagi pelajar yang mempunyai kelayakan akademik yang tinggi, menerusi pembinaan lima buah sekolah menengah antarabangsa milik kerajaan negeri, kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg hari ini.
Beliau berkata sekolah antarabangsa itu nanti akan menghimpunkan pelajar-pelajar terbaik dari seluruh Sarawak tanpa mengira latar belakang, dan seterusnya akan diberi pendidikan mengikut silibus antarabangsa, dengan yuran mereka ditanggung oleh Yayasan Sarawak, yang merupakan yayasan milik kerajaan negeri.
“Anak petani, anak nelayan serta mereka yang mempunyai pendapatan rendah tidak boleh kita pisahkan daripada menikmati pendidikan yang kompetitif.
“Jika kita kumpulkan anak-anak yang bijak ini, maka akan lahirlah sifat persaingan yang sihat antara mereka, dan pelajar cemerlang ini akan dihantar untuk melanjutkan pelajaran ke universiti terbaik di dunia,” katanya semasa berucap pada majlis pecah tanah tapak sekolah antarabangsa di Jalan Kuching-Serian di sini.
Pembinaan lima buah sekolah antarabangsa itu akan dilaksanakan secara berperingkat dengan sekolah antarabangsa di Kuching menjadi sekolah pertama memasuki fasa pembinaan dan dijangka mula beroperasi pada 2022.
Empat lagi sekolah antarabangsa yang akan dibina ialah di Kota Samarahan, Sibu, Bintulu dan Miri.
Abang Johari berkata antara universiti yang akan menyediakan tempat untuk pelajar dari sekolah itu nanti ialah Universiti Cambridge, London School of Economics, Universiti Stanford dan Universiti Oxford.
— BERNAMA