Sekolah di Seoul belajar secara online

Sekolah di Seoul belajar secara online

SEOUL,. Semua sekolah dan tadika dalam wilayah Seoul yang menjadi tempat tinggal separuh daripada 52 juta penduduk Korea Selatan, diarah beralih ke kelas dalam talian ketika kerajaan berusaha memerangi penularan kewujudan kluster baharu COVID-19.

Pendekatan kerajaan Korea Selatan yang sebelum ini menggunakan pendekatan ‘jejak, uji, dan rawat’ untuk membendung virus itu sehingga dianggap sebagai model global, tetapi sekarang berusaha untuk mengawal kluster yang jangkitan COVID-19 yang kebanyakannya berkaitan dengan gereja Protestan.

Hari ini, Korea Selatan melaporkan sebanyak 280 kes jangkitan baharu, menjadikan jumlah keseluruhan kes positif COVID-19 di negara itu menjadi 17,945 kes.

Sebilangan besar kes baru berpusat di wilayah Seoul yang lebih besar yang merangkumi separuh penduduk negara itu.

Pihak berkuasa kini berusaha memperketat peraturan penjarakan fizikal dan mengatakan bahawa sekolah dan tadika di Seoul, Incheon dan wilayah Gyeonggi yang berdekatan akan beralih ke kelas dalam talian mulai esok hingga 11 September ini.

“Peningkatan kluster baharu COVID-19 sejak awal bulan ini turut menjangkiti pelajar dan kakitangan sekolah,” kata Menteri Pendidikan, Yoo Eun-hae kepada wartawan.

“Hampir 200 pelajar dan kakitangan sekolah dijangkiti virus itu dalam dua minggu terakhir bulan ini,” katanya.

Satu-satunya pengecualian adalah untuk pelajar senior di tahun terakhir sekolah menengah mereka, yang akan mengambil peperiksaan kemasukan universiti penting pada awal Disember.

Usaha mengekang penularan COVID-19 diperketat di wilayah Seoul minggu lalu dan terus diperluas ke seluruh negara pada Ahad.

Langkah-langkah tersebut merangkumi sekatan perhimpunan besar seperti perkhidmatan keagamaan dan penutupan kelab malam, bar karaoke dan kafe siber.

Pihak berkuasa juga memberi amaran mengenai peraturan penjarakan fizikal yang lebih ketat, termasuk menutup perniagaan jika jumlah kes baru terus meningkat dengan pesat. – AFP

CATEGORIES
TAGS
Share This