
Sektor pembinaan dan penyelanggaraan, perhutanan dibenarkan beroperasi – Shafie
KOTA KINABALU,. Kerajaan negeri telah memutuskan untuk membenarkan sektor pembinaan dan penyelanggaraan serta perhutanan dan rangkaian di bawahnya beroperasi mulai 8 Mei, semalam.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dalam satu kenyataan yang dikeluarkan semalam, berkata kedua-dua sektor terbabit dibenarkan beroperasi dengan syarat tertentu ditetapkan.
“Aktiviti pembinaan yang dibenarkan beroperasi adalah kerja pembinaan bangunan, infrastruktur, kemudahan awam, landskap dan lain-lain membabitkan sektor pembinaan.
“Selain itu, aktiviti penyelenggaraan meliputi pembaikan dan pemuliharaan infrastruktur, bangunan, kemudahan awam, landskap, pemotongan rumput, loji, janakuasa, pembersihan fasiliti; pembentungan, saluran paip air, pengairan, saliran dan sebagainya juga dibenarkan beroperasi.
“Kita juga membenarkan aktiviti berkaitan dengan rangkaian dan perkhidmatan sokongan kepada sektor ini yang membabitkan aktiviti kuari batu dan pasir, kilang simen dan klinker, pemotongan bukit dan penimbusan tanah, kedai alat perkakas, pengangkutan bahan binaan dan sebagainya untuk beroperasi,” katanya.
Mohd Shafie berkata, beroperasi sektor pembinaan dan penyelanggaran secara bersyarat yang diluluskan sebelum ini ditarik semula dan terbatal dengan sendirinya.
Katanya, begitu juga aktiviti perhutanan huluan dan hiliran telah dibenarkan untuk beroperasi semula.
“Rangkaian dan perkhidmatan sokongan terhadap aktiviti perhutanan huluan dan hiliran seperti logistik pengangkutan darat dan laut, gudang, peruncitan domestik serta import dan eksport juga dibenarkan beroperasi,” katanya.
Katanya, kebenaran beroperasi bagi kedua-dua sektor berkenaan adalah tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan hendaklah disahkan bebas daripada COVID-19 oleh Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS).
–BH