Sektor pembuatan dijangka pulih sebanyak 7.0 peratus tahuh depan

Sektor pembuatan dijangka pulih sebanyak 7.0 peratus tahuh depan

KUALA LUMPUR,. Sektor pembuatan dianggarkan pulih sebanyak 7.0 peratus pada tahun depan, dipacu oleh peningkatan yang stabil dalam industri berorientasi eksport dan domestik.

Kementerian Kewangan (MOF) dalam laporan Tinjauan Ekonomi 2021 yang dikeluarkan hari ini berkata segmen elektrik dan elektronik (E&E) dijangka melonjak selari dengan transformasi digital berikutan kerja dari rumah (BDR) dan komunikasi secara maya yang menjadi sebahagian daripada amalan kerja baharu.

Peningkatan permintaan litar bersepadu, memori dan cip mikro dalam pasaran semikonduktor global akan terus menyokong segmen tersebut.

Pengeluaran produk kimia dan getah dijangka meningkat dengan ketara selari dengan permintaan lebih tinggi bagi produk pembasmi kuman dan pembersih serta sarung tangan getah.

“Selari dengan pemulihan semula ekonomi, produk berkaitan pengguna akan menerima manfaat daripada pendapatan boleh guna isi rumah yang tinggi manakala produk berkaitan pembinaan akan disokong oleh projek infrastruktur utama dan perumahan mampu milik,” kata kementerian berkenaan.

Pada separuh pertama 2020, MOF berkata sektor pembuatan menguncup sebanyak 8.7 peratus berikutan pemberhentian sementara operasi hampir semua industri, kesan daripada gangguan rantaian bekalan akibat daripada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Bagi industri berorientasi eksport, kluster E&E terjejas dengan ketara disebabkan oleh permintaan global yang merosot secara mendadak.

Industri berorientasikan domestik juga mencatatkan pertumbuhan perlahan, berikutan pengucupan ketara sebanyak dua digit dalam segmen kelengkapan pengangkutan; produk mineral bukan logam; logam asas dan produk logam yang direka, katanya.

Bagaimanapun, sektor pembuatan dijangka menokok 2.4 peratus pada separuh kedua tahun ini berikutan aktiviti perindustrian kembali beroperasi sejajar dengan pelonggaran PKP secara berperingkat.

Secara keseluruhan, sektor pembuatan dijangka menguncup sebanyak 3.0 peratus pada tahun ini, kata MOF.

–BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This