Sektor pertanian penting dalam pembangunan ekonomi, kesejahteraan rakyat
KAZAN,. Sektor pertanian dalam pembangunan ekonomi dan kesejahteraan rakyat adalah sangat penting, kata Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan), Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) Datuk Badrul Hisham Mohd.
Beliau memberitahu sebab itu, Malaysia komited dalam mengetengahkan pertanian mampan melalui pelaburan dalam bidang penyelidikan dan pembangunan, promosi pertanian organik dan sokongan kepada pekebun kecil.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan sempena perasmian Kazan Halal Market di Kazan, Republik Tatarstan, Persekutuan Rusia pada 15 Mei 2024.
Pada masa sama Badrul turut menekankan pengukuhan kerjasama dalam industri halal dan kesediaan Malaysia untuk menjalin kerjasama dalam bidang ini dengan Rusia.
Beliau berada di Kazan sebagai ketua delegasi KPKM ke The 15th International Economic Forum “Russia – Islamic World: KazanForum” (KazanForum) 2024 turut mengadakan perjumpaan dengan Menteri Pertanian dan Makanan Republik Tatarstan, HE. Marat Zyabbarov bagi membincangkan kerjasama pertanian antara Malaysia dan
Republik Tatarstan.
Badrul juga telah menyampaikan ucapan pada sesi meja bulat “Russia-Malaysia within the framework of the XV International Economic Forum Russia – Islamic World:
KazanForum 2024 : Agriculture and Food Security as a Driver of Bilateral Cooperation” pada 16 Mei 2024, serta pada sesi meja bulat “Development of Trade Turnover Between the Russian Federation and Countries of the Arab-Muslim World” dengan tajuk Economic
Prospects Cooperation Between Malaysia and Russia Federation pada 17 Mei 2024.
Selain itu, KPKM juga menyertai Ekspo Halal Rusia yang diadakan di sela-sela KazanForum 2024 melalui pembukaan Pavilion Malaysia.
Pavilion ini sebagai platform untuk KPKM mempromosikan pelbagai inisiatif pelaburan dan produk Malaysia ke
pasaran Rusia dan negara serantau.
Program ini juga merupakan sebahagian daripada rangka strategi promosi MAHA Go Global 2024 bagi menarik penyertaan pemain industri utama dunia untuk menyertai MAHA 2024 pada 11 hingga 22 September 2024.
Pelancaran Pavilion Malaysia ini telah disempurnakan Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) Khairul Firdaus Akhbar Khan pada 15 Mei 2024.
Selain lapan usahawan berkaitan Sektor Pertanian dan Agromakanan sebagai pempamer, pavilion ini turut disertai oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Education Malaysia Global Service selaku anak syarikat di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).
KazanForum merupakan acara antarabangsa yang dianjurkan oleh Rusia melalui Kerajaan Republik Tatarstan sejak tahun 2009 sebagai platform bagi memperkukuhkan
kerjasama antara Rusia dengan negara Islam.
Sebagai pengiktirafan, pada 2022 Presiden Rusia telah menaik taraf KazanForum sebagai acara tahunan utama peringkat antarabangsa yang dianjurkan oleh Rusia melibatkan anggota negara Pertubuhan Kerjasama Islam (Organisation of Islamic Cooperation – OIC) dengan tujuan untuk meningkatkan kerjasama Rusia dengan negara-negara OIC.